Pengunjung membeli ayam segar dan telur dalam jualan murah anjuran PKPS dan pejabat DUN Batu Tiga di tapak niaga Seksyen 18 bersebelahan Masjid Al-Hidayah pada 27 Februari 2022. Foto Facebook Rodziah Ismail
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan ayam murah dapat sambutan, pembeli harap laksana sekali sebulan

SHAH ALAM, 27 FEB : Orang ramai berharap jualan ayam murah, telur serta barangan keperluan asas yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali sebulan.

Juerah Din. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

Pembeli Juerah Din, 71, berkata program itu sangat membantu rakyat terutama ketika harga bekalan asas sedang meningkat naik ketika ini.

“Saya harap Kerajaan Selangor dapat anjurkan program ini setiap bulan kerana ia membantu rakyat membeli barangan mentah pada harga berpatutan.

“Terima kasih juga kerana sentiasa prihatin dengan nasib rakyat yang terjejas,” katanya ketika ditemui SelangorKini di program jualan di tapak niaga Seksyen 18 bersebelahan Masjid Al-Hidayah di sini.

Yee Ka Men. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

Manakala, Yee Ka Men, 82, berkata beliau tidak melepaskan peluang untuk membeli makanan asas itu yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

“Hari ini saya beli ayam segar, beras dan telur. Harga ayam di sini RM8 sekilogram sangat murah ditambah lagi kupon RM5 daripada wakil rakyat Batu Tiga bertambah murah, terima kasih.

“Macam telur gred B selalu di pasar raya RM14 tetapi hari ini hanya RM11.70, beras lima kilogram saya beli RM13 sahaja. Sangat jimat,” katanya.

Bagi D Thilakam, 55, pula beliau mendapat tahu program jualan murah menerusi kumpulan WhatsApp serta terus hadir bersama jiran untuk mendapatkan ayam dan telur.

D Thilakam. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

“Susah nak dapat ayam sekarang, di pasar raya selalu habis, jika ada pun agak mahal. Terima kasih juga wakil rakyat Batu Tiga sediakan kupon RM5 yang sedikit sebanyak meringankan beban,” katanya.

Sebanyak 800 ekor ayam segar, telur dan beberapa makanan asas dijual menerusi jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan pejabat DUN Batu Tiga di tapak niaga Seksyen 18 bersebelahan Masjid Al-Hidayah.

Inisiatif menjual ayam standard dengan harga siling RM8 sekilogram menerusi Program Intervensi Harga Ayam dan Telur bermula 7 Februari lepas bagi mengurangkan beban kenaikan harga barang makanan.

Program melibatkan penjualan 50,000 ekor ayam dengan dana RM1 juta diperluas ke seluruh negeri selepas mendapat sambutan orang ramai.


Pengarang :