Pengunjung membeli ayam segar dan telur dalam jualan murah anjuran PKPS dan pejabat DUN Batu Tiga di tapak niaga Seksyen 18 bersebelahan Masjid Al-Hidayah pada 27 Februari 2022. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jualan ayam murah DUN Batu Tiga laku, pembeli beratur seawal 8 pagi

SHAH ALAM, 27 FEB : Sebanyak 800 ekor ayam segar dibekalkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) habis dijual kepada penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga di sini hari ini.

Pengarah program Hamdan Harun. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

Program yang berlangsung di tapak niaga Seksyen 18 bersebelahan Masjid Al-Hidayah itu adalah inisiatif wakil rakyat DUN tersebut Rodziah Ismail yang turut menyediakan kupon RM5 kepada 500 pembeli terawal.

Pengarah program, Hamdan Harun berkata sambutan diterima luar biasa apabila ramai pengunjung mula beratur seawal jam 8 pagi meskipun jualan bermula jam 9 pagi.

“Walaupun cuaca agak mendung dan hujan rintik-rintik pengunjung tetap tidak berputus asa dan sabar menunggu untuk mendapatkan barangan asas ini.

“Terima kasih juga kepada wakil rakyat Rodziah kerana memberi kupon RM5 kepada pembeli, sudah tentu kami gembira sudahlah ayam jual murah lepas tu dapat pula kupon,” katanya kepada SelangorKini.

Kerajaan Selangor melaksanakan inisiatif menjual ayam standard dengan harga siling RM8 sekilogram menerusi Program Intervensi Harga Ayam dan Telur bermula 7 Februari lepas bagi mengurangkan beban kenaikan harga barang makanan.

Program melibatkan penjualan 50,000 ekor ayam dengan dana RM1 juta diperluas ke seluruh negeri selepas mendapat sambutan orang ramai.

Pengunjung beratur untuk membeli ayam segar dan telur dalam jualan murah anjuran PKPS dan pejabat DUN Batu Tiga di tapak niaga Seksyen 18 bersebelahan Masjid Al-Hidayah pada 27 Februari 2022. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

Pengarang :