Majlis Perbandaran Klang (MPK) antara pihak berkuasa tempatan yang banyak mempromosikan amalan kitar semula di kawasan pentadbirannya. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

KDEBWM bina lima pusat kitar semula, bantu Selangor sentiasa bersih

SHAH ALAM, 11 FEB: KDEB Waste Management (KDEBWM) akan membina lima lagi kemudahan kitar semula bahan (MRF) tahun ini, bagi meningkatkan kadar kitar semula di negeri ini.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata lima lokasi berkenaan adalah di Sepang, Selayang, Ampang, Petaling Jaya dan Hulu Selangor, menjadikan keseluruhan tujuh MRF akan beroperasi di negeri ini.

“Perbincangan sudah diadakan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan dan mereka bersetuju untuk menyediakan ruang kepada KDEBWM untuk mewujudkan kemudahan ini.

“Kita akan lihat perkembangannya, namun percaya kemudahan ini perlu diperluas bagi meningkatkan kadar kitar semula, sekali gus memastikan Selangor sentiasa bersih,” katanya kepada Selangorkini.

Mengulas lanjut, beliau berkata setiap MRF mampu mengurus sebanyak 20 tan bahan kitar semula seperti plastik, kertas, aluminium dan keluli, setiap hari.

“Jadi, kita mampu memproses 100 tan bahan kitar semula yang sepatutnya dilupuskan di Tapak Pelupusan Sanitari Jeram.

“Selain itu, MRF juga berkemampuan memproses barang kitar semula untuk menghasilkan produk baharu.

“Untuk itu, kita sedang bekerjasama dengan tiga syarikat berkaitan yang mempunyai teknologi untuk mentransformasikan sisa plastik kepada biodiesel,” katanya.

Pada 26 November lalu, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 berkata pusat MRF akan diperluaskan ke setiap daerah di negeri ini bagi mengurangkan bahan dan peralatan yang mempunyai elemen pakai buang.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan ketika ini syarikat pengurusan sisa pepejal milik Kerajaan Negeri itu sudah menyediakan dua pusat MRF, iaitu di Meru, Klang dan Bukit Puchong, Subang Jaya.


Pengarang :