Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir memantau kerja membersihkan longkang pada program gotong-royong pascabanjir di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 6 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

KDEBWM gesa penduduk elak buang sisa pukal di tepi longkang

SHAH ALAM, 6 FEB: KDEB Waste Management (KDEBWM) meminta penduduk di kawasan terjejas banjir, tidak membuang sisa pukal berhampiran saliran longkang supaya tidak menjejaskan kelancaran kerja fasa dua pascabanjir.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata ia bagi mengelakkan sisa itu dibawa air berikutan musim hujan pada masa kini menyebabkan parit kembali tersumbat dan berlaku banjir kilat.

Menurut Ramli, berdasarkan pemantauan masih ada penduduk membuang sisa pukal terutama selepas sambutan Tahun Baharu Cina dan mereka dinasihatkan membuangnya ke tong Roll-on-Roll-off (Roro).

“Saya harap penduduk tidak lagi keluarkan sampah banjir, kerana kita sedang dalam fasa dua iaitu untuk membersihkan saliran longkang dan parit yang perlu disegerakan.

“Kita bimbang bila hujan yang mungkin menyebabkan air kembali naik kerana kerja pembersihan yang belum siap,” katanya ditemui di Taman Sri Muda hari ini.

KDEBWM, anak syarikat Kerajaan Negeri yang menguruskan sepenuhnya kutipan sampah domestik giat membersihkan kawasan terjejas banjir mulai 20 Disember tahun lalu secara berperingkat.

Sebanyak 78,000 tan metrik sampah pukal dibersihkan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi lain, yang selesai sepenuhnya pada 7 Januari lalu.

Pada fasa kedua mulai 8 Januari pula, syarikat itu memberi tumpuan kepada operasi pembasmian kuman dan pembersihan parit tersumbat mengikut keadah teknologi efektif mikrobiologi (EM).

 


Pengarang :