Pekerja kontraktor KDEB Waste Management (KDEBWM) membersihkan sampah dalam longkang ketika program Pembersihan Mega di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 8 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

KDEBWM: Pembersihan fasa dua pascabah siap 70 peratus

SHAH ALAM, 4 FEB: Operasi pembersihan fasa dua di kawasan terjejas banjir seluruh Selangor mencecah 70 peratus setakat ini, maklum KDEB Waste Management (KDEBWM).

Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir menjangka proses pembersihan longkang dan parit di semua lokasi terlibat selesai sepenuhnya hujung Mac ini.

“Kerja pembersihan mengambil masa agak lama kerana kita perlu menguruskan sampah pukal yang dibuang oleh penduduk. Insya-Allah hujung Mac ini selesai.

“Diharap penduduk bersabar dan memberi kerjasama dengan baik,” katanya ketika dihubungi.

Sejak 20 Disember lalu, KDEBWM, anak syarikat Kerajaan Negeri yang menguruskan sepenuhnya kutipan sampah domestik giat membersihkan kawasan terjejas bah secara berperingkat.

Sepanjang proses pembersihan fasa pertama yang selesai pada 7 Januari lalu, sebanyak 78,000 tan metrik sampah pukal dibersihkan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi lain.

Pada fasa kedua mulai 8 Januari pula, syarikat itu memberi tumpuan kepada operasi pembasmian kuman dan pembersihan parit tersumbat mengikut keadah teknologi efektif mikrobiologi (EM).


Pengarang :