Sebahagian penumpang dilihat memakai pakaian perlindungan lengkap (PPE) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan pengesanan kes pertama positif Covid-19 varian Omicron pada 3 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kes Covid-19 dijangka melonjak sehingga 15,000 sehari – menteri

SHAH ALAM, 6 FEB: Gelombang Omicron dijangka melonjak kes Covid-19 dalam negara sehingga 15,000 kes sehari tidak lama lagi.

Perkara itu dinyatakan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi Twitter, hari ini.

“Fully into Omicron wave (berdepan sepenuhnya gelombang Omicron). Kes akan mencecah 15,000 tidak lama lagi. Masih ada satu juta warga emas yang tiada dos penggalak.

“Tolong maklum kepada orang-orang tua kesayangan anda untuk mendapat dos penggalak dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas berkongsi pautan Twitter ketua pengarah kesihatan mengenai model Berisiko-Terdedah-Berjangkit-Diasingkan (SEIR) yang menunjukkan unjuran kes dari 31 Ogos 2021 hingga 30 Mac depan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan liputan vaksin dan dos penggalak yang meluas dapat mengurangkan keparahan kes Covid-19 yang kembali meningkat.

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara hari ini melepasi paras 10,000 dengan 10,089 kes berbanding 9,117 semalam.

Ia menunjukkan peningkatan 972 kes hari ini iaitu hampir separuh daripada pertambahan dicatat semalam 1,883.


Pengarang :