Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan sanitasi sebelum pusat undi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak dibuka bagi proses undi awal Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 pada 14 Disember 2021. Foto BERNAMA.
AGENDANASIONAL

Kes Covid-19 melonjak, HARAPAN minta kerajaan pertimbang tangguh PRN Johor

SHAH ALAM, 10 FEB: Pakatan Harapan (HARAPAN) meminta kerajaan mempertimbang untuk menangguh pilihan raya negeri (PRN) Johor susulan peningkatan kes Covid-19 yang mencecah lebih 17,000 semalam.

Majlis Presiden HARAPAN dalam kenyatannya memandang serius gelombang varian Omicron tetapi bimbang penularan itu diperalat untuk tujuan politik dalam PRN berkenaan.

“Demi memastikan keadaan ini tidak diperalatkan untuk tujuan politik maka kerajaan harus pertimbang untuk menangguhkan PRN Johor,” menurut kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, Setiausaha DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu Datuk Seri Madius Tangau.

HARAPAN juga berharap kerajaan memberi kelonggaran dengan membenarkan kempen terbuka termasuk ceramah jika kerajaan tidak berhasrat menangguhkan PRN Johor.

Kenyataan itu juga mengingatkan kerajaan supaya tidak menyalahgunakan kuasa sebaliknya fokus terhadap membina kesedaran orang ramai untuk menangani gelombang Omicron.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian bagi PRN Johor. Hari penamaan calon pula pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac


Pengarang :