Set kit ujian pantas antigen Covid-19 (RTK) yang dijual di sebuah farmasi di Seksyen 7 Shah Alam pada 6 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kes jangkitan harian 30,644 lepasi paras 30,000 tiga hari berturut-turut

SHAH ALAM, 26 FEB: Angka jangkitan harian Covid-19 menurun 1,426 kes kepada 30,644 selepas mencatatkan kadar tertinggi semalam, sejak ia direkodkan pada Januari 2020.

Daripada jumlah itu, 30,387 adalah kes tempatan, manakala 257 lagi kes import.

Kes Covid-19 mencatatkan rekod melebihi 30,000 sejak 23 Februari iaitu 31,199 kes.

Bagaimanapun, kategori 3, 4, dan 5 tetap rendah iaitu 156 kes atau 0.51 peratus manakala kategori 1 (tanpa gejala) dan 2 (gejala ringan) pula sebanyak 30,488 kes atau 99.49 peratus.

Sebanyak 110 kes atau 70.51 peratus daripada kategori 3, 4, 5 yang direkodkan membabitkan individu tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi, sudah menerima dua dos vaksin tetapi masih belum menerima dos penggalak, manakala 46 kes atau 29.49 peratus sudah menerima dos penggalak.

78 kes atau 50 peratus adalah pesakit berumur 60 tahun ke atas, 89 kes atau 57.05 peratus adalah individu yang mempunyai kormobid dan dua kes lagi atau 1.28 peratus membabitkan ibu mengandung.

Pecahan kes mengikut kategori adalah seperti berikut:

Kategori 1 : 9,557 kes (31.19 peratus)
Kategori 2 : 20,931 kes (68.30 peratus)
Kategori 3 : 91 kes (0.30 peratus)
Kategori 4 : 39 kes (0.13 peratus)
Kategori 5 : 26 kes (0.08 peratus)

“Tempoh isolasi bagi individu positif Covid-19 yang telah lengkap vaksinasi termasuk yang sudah mendapat dos penggalak adalah tujuh hari, manakala tempoh isolasi bagi individu positif Covid-19 yang tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi adalah selama 10 hari. Tempoh isolasi terkini tidak mengambil kira sama ada bergejala atau tidak bergejala,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Setakat semalam, seramai 7,949 pesakit atau 2.7 peratus dirawat di hospital, 282,073 kes atau 95.8 peratus menjalani tempoh kuarantin di rumah manakala
4,076 atau 1.4 peratus ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19.

Angka kematian pula mencatatkan rekod 57 termasuk 14 kematian di luar hospital menjadikan keseluruhan jumlah terkumpul kematian kepada 32,591 kes.

Jumlah kes terkumpul setakat semalam adalah 3,367,871.


Pengarang :