Pelajar jurusan Quran Sunnah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Wardahtul Nazierah Mohd Aziz, 20 (kanan) dan rakannya Nurul Sorfina Mohd Halim Mahadi, 20, bergambar bersama replika jarum selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam program Vaksin Selangor (Selvax) di pusat pemberian vaksin (PPV) UIAM, Gombak pada 18 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kes serius Covid-19 kekal rendah, angka jangkitan harian menurun

SHAH ALAM, 22 FEB: Kadar jangkitan Covid-19 menunjukkan penurunan sejak dua hari lalu apabila 25,099 kes direkodkan semalam, iaitu berkurangan 1,733 kes.

Kes serius atau kategori 3, 4, dan 5 masih rendah iaitu 100 kes atau 0.4 peratus manakala kategori 1 (tanpa gejala) dan 2 (gejala ringan) pula merekodkan sebanyak 24,999 kes atau 99.6 peratus.

Daripada jumlah itu, sebanyak 25 kes atau 25 peratus daripada kategori 3, 4, 5 yang direkodkan membabitkan individu tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi.

Sebanyak 53 kes atau 53 peratus sudah menerima dua dos vaksin tetapi masih belum menerima dos penggalak.

“Kementerian Kesihatan menyeru semua individu dewasa yang berkelayakan namun belum menerima vaksin dos penggalak untuk segera mendapatkannya dari pusat pemberian vaksin (PPV) yang terdekat secara jumpa terus.

“Semak PPV di https://vaksincovid.protecthealth.com.my/find. Bagi yang telah mendaftar, KKM memohon agar anda hadir ke slot janji temu tersebut. Lindungi diri dan orang tersayang. Dapatkan dos penggalak,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook.

Pecahan kes mengikut kategori adalah seperti berikut:

Kategori 1 : 7,763 kes (30.93 peratus)
Kategori 2 : 17,236 kes (68.67 peratus)
Kategori 3 : 56 kes (0.23 peratus)
Kategori 4 : 23 kes (0.09 peratus)
Kategori 5 : 21 kes (0.08 peratus)

Ketika ini, 108 pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) tidak menerima bantuan pernafasan dan 164 kes di ICU memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, sebanyak 43 kes daripada keseluruhan 25,099 kes direkodkan meninggal dunia semalam, termasuk 13 kematian di luar hospital.

Jumlah kes terkumpul setakat ini adalah 3,246,779.


Pengarang :