(Gambar hiasan) Seorang doktor menyuntik botoks ke wajah pelanggan di Athens, Greece pada 12 Disember 2017. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

KKM serbu pusat kecantikan tiada lesen buat rawatan estetik

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan empat pusat kecantikan di tiga negeri menggunakan peralatan perubatan serta ubat-ubatan disyaki untuk rawatan estetik yang hanya boleh digunakan pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata penguatkuasaan bersepadu bersama Jabatan Imigresen itu dilakukan ke atas dua premis di Kuala Lumpur dan masing-masing sebuah premis di Selangor dan Pulau Pinang, semalam.

“KKM melalui Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Bahagian Amalan Perubatan bertindak melalui maklumat disalurkan imigresen berkenaan perkara tersebut setelah mendapati perkhidmatan rawatan estetik disediakan melibatkan penggunaan peralatan-peralatan perubatan dan ubat-ubatan berjadual.

“Siasatan awal KKM mendapati premis tersebut menyediakan rawatan estetik yang hanya boleh disediakan di fasiliti kesihatan berdaftar atau berlesen dengan KKM. Peralatan pergigian yang disyaki digunakan untuk tujuan rawatan turut ditemui di premis-premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi penguatkuasaan itu turut disertai CKAPS Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya (CKAPS KL), CKAPS Selangor, CKAPS Pulau Pinang dan CKAPS Negeri Sembilan.

“Kes disiasat di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] kerana disyaki menyediakan sebuah Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (KPJKS) yang tidak berdaftar atau berlesen selaras dengan ketetapan Seksyen 3 dan/atau Seksyen 4, Akta 586 dan boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 5, akta sama.

“Mana-mana orang didapati melakukan kesalahan di bawah seksyen ini, boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya. Sementara bagi suatu kesalahan dilakukan oleh suatu pertubuhan perbadanan, perkongsian atau pertubuhan boleh didenda sehingga RM500,000,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata orang awam yang berhasrat untuk mendapatkan rawatan estetik dinasihatkan mendapatkan rawatan di KPJKS yang berdaftar atau berlesen bawah Akta 586 melalui khidmat pengamal perubatan yang mempunyai “Letter of Credentialing and Privileging (LCP)” bagi memastikan perkhidmatan jagaan kesihatan diterima selamat dan berkualiti.

-BERNAMA


Pengarang :