Kolej Universiti Poly-Tech Mara Kuala Lumpur kini dikenali sebagai Universiti Poly-Tech Malaysia. Foto Facebook Kolej Universiti Poly-Tech Mara
AGENDANASIONAL

KUPTM diiktiraf universiti penuh, kini dikenali UPTM

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Kolej Universiti Poly-Tech Mara Kuala Lumpur (KUPTM) yang ditubuhkan pada 1987 sebelum dinaik taraf sebagai kolej universiti pada 2015 diiktiraf sebagai universiti penuh dengan kini dikenali sebagai Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata KUPTM membuat pembentangan permohonan naik taraf universiti penuh kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 1 Dis 2020 dan kelulusan penubuhan universiti diterima daripada KPT pada 31 Mac 2021 dengan beberapa syarat sebelum pendaftaran taraf universiti penuh.

Mahdzir dalam kenyataannya semalam, memaklumkan KUPTM layak memohon kenaikan taraf kepada universiti penuh itu selepas lima tahun dinaik taraf kepada kolej universiti pada Oktober 2015 dan seterusnya mendapat kelulusan KPT.

“Dengan penubuhan UPTM, sektor pendidikan tinggi negara diperlihatkan pada landasan betul dan dapat merealisasikan serta mendokong Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia bagi Pendidikan Tinggi 2015-2025, seterusnya dapat membangunkan modal insan dan melahirkan graduan bertaraf global.

“Tujuan penubuhan satu lagi universiti di bawah Mara adalah sebagai pelengkap ekosistem pendidikan tinggi Mara yang memfokuskan kepada kebitaraan perniagaan dan perakaunan. KUPTM juga aktif dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan inovasi di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Menurut Mahdzir, Isnin lepas, KPT bersetuju memberi kelonggaran syarat pendaftaran pertama UPTM sebagai Institusi Pendidikan Tinggi Swasta bertaraf universiti, seterusnya membolehkan nama UPTM digunakan secara rasmi dengan mematuhi syarat utama dalam tempoh lima tahun beroperasi sebagai universiti.

Sepanjang penubuhan sebagai kolej universiti, KUPTM menawarkan 14 program ijazah sarjana muda, empat program sarjana dan dua program ijazah doktor falsafah.

KUPTM mempunyai 155 ketua penyelidik yang sudah menghasilkan 111 projek penyelidikan dan menerbitkan 198 artikel ilmiah dalam pelbagai jurnal.

-BERNAMA


Pengarang :