EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Borhan Aman Shah mengucapkan tahniah kepada peserta Program Latihan Pembangunan Ekonomi Kampung Tradisi Negeri Selangor di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam pada 26 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kursus usahawan negeri bantu asah kemahiran, lonjak pendapatan

SHAH ALAM, 27 FEB : Memilih untuk mengikuti Kursus Pembangunan Ekonomi Kampung Tradisi Selangor selama setahun membuka pintu rezeki salah seorang tukang jahit mencipta pita pengukur rekaannya sendiri.

Kamariah Mohd Pauzi, 29, berkata pada mulanya niat masuk kursus itu kerana mahu mengasah bakat menjahit tetapi akhirnya tercetus idea untuk menghasilkan pita pengukur yang lebih terperinci.

Kamariah Mohd Pauzi, 29. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya dapat idea untuk cipta pita pengukur sejak masuk kursus ini kerana sebagai tukang jahit kita memerlukan bacaan yang lebih tepat untuk mengukur.

“Jika pita pengukur biasa itu hanya ada sentimeter dan inci depan belakang tetapi ciptaan saya ini ada tambahan bacaan ukuran ‘hun’ yang lebih terperinci serta memudahkan tukang jahit seperti kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sijil Peserta Program Pembangunan Usahawan Kampung Tradisi Selangor di Mardhiyyah Hotel & Suites di sini hari ini.

Ibu tiga anak itu bersyukur kursus berkenaan banyak membuka pintu rezeki buatnya apabila berjaya menjual lebih 600 unit pita pengukur jenama Cerdik hanya dalam tempoh kurang setahun.

“Alhamdulillah, rata-rata pelanggan saya dari Giatmara, kolej vokasional dan pusat kegiatan menjahit. Setakat ini saya hanya jual secara dalam talian di Shopee dan Facebook.

“Saya terfikir tidak semestinya tukang jahit hanya perlu menjahit sebaliknya kita perlu menjadi kreatif dan sanggup untuk belajar apa sahaja ilmu baharu yang memanfaatkan bukan sahaja untuk kita tetapi orang lain juga.

“Terima kasih juga Kerajaan Selangor kerana memberi peluang saya mengikuti kursus ini. Insya-Allah saya akan mencari individu yang berminat menjadi ejen menjual pita pengukur dan beberapa alatan lain pada masa depan,” katanya.

Kerajaan Negeri menawarkan Kursus Pembangunan Ekonomi Kampung Tradisi Selangor secara percuma kepada penduduk kampung tradisi yang berusia 17 sehingga 45 tahun.

Antara kursus yang ditawarkan adalah asas baik pulih kasut, penyelenggaraan telefon bimbit, jahitan dan melukis pola pakaian, mengurut serta menjaga ibu selepas bersalin.

Semalam, seramai 70 usahawan desa yang tamat kursus berjaya menerima sijil penghargaan daripada Kerajaan Selangor yang disampaikan EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah.

Pengarang :