Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Zamani Ahmad Mansor (tengah) dan Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia Hean Boon Yeow (kanan) menunjukkan trofi Kejohanan Malaysia Liga Bola Tampar di Galeri Mokara Wisma MBSA pada 23 Februari 2022. Foto MBSA
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Lapan pasukan berentap rebut kejuaraan Liga Bola Tampar 2022

SHAH ALAM, 24 FEB: Lapan pasukan bakal berentap dalam Kejohanan Malaysia Liga Bola Tampar 2022 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dewan Bola Tampar, Seksyen 4 di sini mulai 8 hingga 13 Mac ini.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata kejohanan dengan kerjasama Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) melibatkan penyertaan dari Selangor, Johor, Sarawak, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya, Angkatan Tentera Malaysia dan bomba.

Menurut Shahrin Ahmad inisiatif melahirkan belia aktif dan memperkenal Shah Alam sebagai bandar raya sukan turut disertai pemain dari luar negara bagi setiap pasukan.

“MBSA menyasarkan kejohanan ini untuk mencungkil bakat baharu dalam sukan bola tampar selain diketengahkan ke pertandingan peringkat kebangsaan serta antarabangsa,” katanya melalui kenyataan semalam.

Beliau berkata kejohanan tersebut menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM42,000 dengan juara bakal membawa pulang wang tunai RM20,000 dan medal.

Katanya naib johan pula akan menerima wang tunai RM10,000 dan medal manakala ketiga serta keempat masing-masing RM8,000 dan RM4,000 berserta medal.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Zamani Ahmad Mansor (tengah) bersama rakan penaja Kejohanan Malaysia Liga Bola Tampar di Galeri Mokara Wisma MBSA pada 23 Februari 2022. Foto MBSA

Pengarang :