Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat sijil pemenang dalam Majlis Penutupan Larian Virtual Ayuh Selangor 1.0 di foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 18 Februari 2022. Foto AHMADZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Larian maya Ayuh Selangor dapat sambutan, program diterus peringkat daerah

SHAH ALAM, 18 FEB : Seramai 5,130 peserta terlibat dalam larian secara maya ‘Ayuh Selangor 1.0′ yang diadakan selama sebulan sejak 31 Disember lalu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program julung kali anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan MOVE-ON itu menerima sambutan memberangsangkan meskipun pandemik Covid-19.

“Susulan sambutan positif sepanjang program itu, Kerajaan Negeri setuju untuk meneruskan ‘Larian District Ayuh Selangor 1.0’ yang dilancarkan sepanjang tahun ini bermula Mac dengan MOVE-ON sebagai rakan penganjur.

“Larian District merangkumi sembilan daerah dalam Selangor dengan bermula di Gombak diikuti Petaling, Klang, Sepang, Sabak Bernam, Kuala Langat, Hulu Langat dan Hulu Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri penutupan Program Larian Ayuh Selangor 1.0 di foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Amirudin berharap larian di setiap daerah itu dapat memberi manfaat kesihatan dan semangat kebersamaan kepada semua rakyat di negeri ini.

Pada 14 Disember lepas Amirudin berkata penganjuran program larian Ayuh Selangor 1.0 boleh menjadi petunjuk tahap ekonomi dan kesihatan awam negeri ini selain menggalakkan persekitaran sihat.

Beliau percaya menerusi mesej dan semangat kempen Ayuh Selangor 1.0, rakyat negeri ini boleh mengharungi cabaran dan kesukaran tanpa rasa takut.


Pengarang :