Sebahagian pemenang bergambar pada Majlis Sidang Media Penutupan Larian Virtual Ayuh Selangor 1.0 di Foyer SUK, Shah Alam pada 18 Februari 2022. Foto AHMADZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Larian maya Ayuh Selangor pupuk budaya sihat ketika pandemik

SHAH ALAM, 19 FEB: Peserta acara larian secara maya Ayuh Selangor 1.0 memuji penganjuran program yang membantu mereka mengisi masa lapang sambil menyihatkan badan.

Salah seorang juara Syeren Cedar, 43, berkata minat yang tinggi terhadap aktiviti sukan mendorongnya untuk berlari sejauh 1,119km dalam tempoh 30 hari.

Syeren Cedar, 43

“Suami dan anak-anak banyak beri sokongan. Setiap petang saya akan berlari atau berjalan dan tanpa sedar dalam tempoh sebulan berjaya capai jarak sejauh itu,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau ditemui selepas majlis penutup program tersebut yang dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Seorang lagi peserta Jimmy Goh Kim Sin, 43, yang pertama kali menyertai acara seumpama itu berjaya menyempurnakan larian lebih 1,000km dan berharap ia diteruskan pada masa depan.

“Program ini patut diteruskan terutama dalam situasi norma baharu ini kerana pandemik bukan halangan untuk kita terus bersukan dan menyihatkan badan,” katanya.

Pada 14 Disember tahun lalu, Dato’ Menteri Besar berkata acara larian tersebut boleh menjadi petunjuk tahap ekonomi dan kesihatan awam negeri ini selain menggalakkan persekitaran sihat.

Amirudin juga percaya mesej dan semangat kempen Ayuh Selangor 1.0 membantu rakyat negeri ini mengharungi cabaran dan kesukaran tanpa rasa takut.


Pengarang :