Pasukan Sukarelawan UNISEL bergambar kenangan ketika misi pascabanjir di Dengkil pada 29 Disember 2021. Foto Facebook Univeristi Selangor
BERITA UTAMASELANGOR

Lebih 2,500 warga Unisel terlibat 68 misi bantuan banjir

KUALA SELANGOR, 6 FEB: Seramai 2,512 warga Universiti Selangor (Unisel) terbabit dalam misi bantuan susulan banjir besar di negeri ini pada Disember tahun lalu.

Canselor, Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alahaj Raja Tun Uda Alhaj berkata jumlah itu merangkumi pelajar dan staf yang terlibat dalam 68 misi bantuan.

“Unisel merupakan salah sebuah institusi pengajian tinggi yang aktif melakukan misi bantuan banjir di mana seramai 2,254 pelajar dan 258 staf terlibat.

“Unisel melalui Tabung Amanah Pendidikan Unisel juga memberikan sumbangan lebih RM30,000 kepada lebih 100 staf yang terjejas akibat banjir,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 Unisel yang diadakan di Dewan Canselor Kampus Bestari Jaya di sini, semalam.

Sebelum ini dilaporkan Unisel menawarkan bantuan penempatan selama tiga bulan secara percuma kepada seorang kakitangannya yang terjejas banjir.

Pengarah Komunikasi Korporat Hasril Abu Hassan berkata pembantu perpustakaan Siti Mariani Mohd Yusof bersama keluarga ditempatkan di perumahan staf sepanjang tempoh terbabit.


Pengarang :