Murid-murid Sekolah Kebangsaan Meru, Klang memulakan sesi pembelajaran pada hari pertama sesi persekolahan penggal ketiga bagi negeri Kumpulan B ketika tinjauan pada 10 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 8,000 guru baharu diminta semak penempatan, lapor diri 1 Mac

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Seramai 8,120 guru baharu bagi pengambilan khas secara ‘one-off’ yang berjaya dalam temu duga fasa dua dan tiga, boleh mula membuat semakan penempatan bermula semalam.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata semua guru tersebut akan mula melapor diri di sekolah masing-masing pada 1 Mac ini.

“Kepada calon yang berjaya dipilih, tahniah dan selamat bertugas saya ucapkan. Manfaatkanlah peluang menjadi guru untuk bekerja setulus hati ke arah melahirkan generasi pewaris negara yang lebih hebat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Pengambilan khas guru secara ‘one-off’ yang membabitkan keseluruhan 18,702 orang adalah bagi merungkai isu kekurangan guru yang berlarutan sekian lama.

Radzi berkata Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku Pihak Berkuasa Melantik, untuk mempercepatkan pelantikan dan penempatan baki pengambilan guru ‘one-off’ dalam masa terdekat.

Jelasnya langkah itu amat penting bagi menampung keperluan guru khususnya bagi sesi persekolahan akan datang.

“InsyaAllah KPM akan berusaha untuk menyelesaikan perkara yang telah lama berlarutan satu per satu. Teruskan memberi sokongan anda demi pendidikan generasi pewaris negara,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :