Orang ramai yang hadir untuk memohon bantuan Lembaga Zakat Selangor di Surau Al-Husna Taman Medan Baru pada 20 Februari 2022. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSI SELANGOR

Lembaga Zakat Selangor jejak orang susah, agih bantuan

SHAH ALAM, 21 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) daerah Petaling menganjurkan program jejak kemiskinan di Surau Al-Husna Taman Medan Baru semalam.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan aktiviti berkenaan bertujuan mengesan keluarga yang menghadapi kesempitan hidup sekali gus berusaha membantu mereka keluar daripada masalah tersebut.

“Program ini menjadi salah satu kaedah untuk kami mengesan keluarga yang hidup dalam kemiskinan sebelum kami ke rumah mereka untuk mengesahkannya.

“Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan dan ramai juga hadir mengemukakan permohonan bancian dan pelbagai bantuan diperlukan,” kata kenyataan itu.

Melalui program itu , LZS turut menerima pelbagai rintihan daripada pemohon yang rata-ratanya terjejas dan mengalami masalah kewangan sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

“Justeru, LZS mengambil pendekatan menganjurkan program menjejak kemiskinan bagi memastikan tiada individu yang terlepas pandang,” katanya.


Pengarang :