AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais terima 33 permohonan nasihat guaman syariah percuma

SHAH ALAM, 4 FEB: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menerima 33 permohonan K-Guam iaitu perkhidmatan nasihat perundangan syariah percuma secara dalam talian sejak dilancar pada 28 Disember tahun lalu.

Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata permohonan diterima itu membabitkan 18 perundangan syariah manakala selebihnya berkaitan sivil.

“Semua permohonan akan dinilai dan penetapan janji temu secara dalam talian antara pemohon bersama peguam dilakukan dalam masa terdekat,” katanya kepada SelangorKini.

Platform K-Guam merupakan inisiatif membantu masyarakat di negeri ini mendapatkan khidmat nasihat guaman dengan lebih mudah dan pantas serta melibatkan 50 peguam selaku penasihat.

Dua perkhidmatan ditawarkan berkaitan perundangan sivil iaitu perkahwinan, penceraian dan keluarga; buruh dan pekerjaan; wasiat, pemulihan hutang dan jenayah manakala syariah pula seperti hibah, wasiat dan pusaka serta wakaf.

Platform perkhidmatan dalam talian perundangan pertama ditubuhkan Mais dengan kerjasama Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Perkhidmatan dijalankan secara dalam talian melalui e-mel, WhatsApp, panggilan telefon atau panggilan video tanpa perlu pemohon hadir ke pejabat Mais.

Orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan K-Guam, boleh melayari pautan
https://www.mais.gov.my/k-guam/ atau maklumat lanjut berhubung platform itu boleh didapati di laman sesawang Mais di www.mais.gov.my .


Pengarang :