Kawasan pembuangan sampah haram yang dikesan dalam operasi Majlis Perbandaran Selayang. Foto MPS
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Majlis Perbandaran Selayang sita empat lori buang sampah haram

Lori yang disita anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang dalam operasi di Batu 8 1/2, Jalan Gombak pada 11 Februari 2022. Foto MPS

SHAH ALAM, 12 FEB: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita empat lori kerana terbabit dalam aktiviti pembuangan sampah secara haram dalam dua operasi berasingan sekitar daerah itu.

Pengarah Jabatan Korporatnya, Mohamad Zin Masoad berkata tiga lori disita dalam operasi dijalankan anggota penguatkuasa MPS di Batu 8 1/2, Jalan Gombak semalam, manakala sebuah lagi di Jalan Kampung Baru Kundang Rawang kelmarin.

Menurut Mohamad Zin, pemilik lori berkenaan turut dikompaun RM1,000 mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 21 di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MPS (2007).

“Kesemua lori yang disita sudah dibawa ke depoh tahanan MPS dan akan ditahan selama 30 hari,” katanya kepada SelangorKini.

Justeru, beliau berkata pemantauan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa terutama di lokasi yang sering berlaku aktiviti itu atau lokaliti panas bagi membanteras kegiatan sedemikian.

Pada masa sama, beliau menjelaskan pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang dikesan melakukan aktiviti pencemaran alam sekitar di kawasan pentadbiran MPS.

“Bersama kita lindungi alam sekitar dan pastikan buang sampah di tempat yang dibenarkan kerana MPS amat memandang serius isu pembuangan sampah haram,” katanya.

 


Pengarang :