Kakitangan Klinik Annura Perlis Syahira Johari menunjukkan dua vaksin jenis Corminaty yang digunakan untuk proses suntikan vaksin di PPV Offsite Klinik Annura di Masjid Syed Alwi pada 9 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Malaysia terima kumpulan kedua vaksin Covid-19 dari UAE

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Malaysia hari ini menerima kumpulan kedua 500,000 dos vaksin Covid-19 Sinopharm yang disumbangkan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pesawat Etihad Airways yang membawa vaksin itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 12.15 tengah hari.

Sumbangan itu diserahkan pegawai Kedutaan UAE di Malaysia kepada pegawai dari Kementerian Luar (Wisma Putra), Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan dalam satu majlis ringkas di KLIA.

Turut hadir, Ketua Hal Ehwal Ekonomi, Politik dan Media Kedutaan UAE di Malaysia, Nouf Ibrahim Ali Rashed AlKuwaiti dan Setiausaha Bahagian Asia Barat Kementerian Luar, Shahabudeen Adam Shah.

“Malaysia sangat menghargai bantuan Covid-19 UAE kepada Malaysia, terutamanya sumbangan vaksin yang membantu usaha Malaysia untuk menangani pandemik itu.

“Sumbangan itu juga menandakan pencapaian penting dalam kerjasama Malaysia-UAE dalam bidang diplomasi kesihatan bagi menangani pandemik C0vid-19,” menurut kenyataan Wisma Putra.

Sebelum ini, kumpulan pertama 500,000 dos vaksin Sinopharm tiba di Malaysia pada 25 Januari lalu.

UAE sebelum ini turut menyumbang 20,000 unit kit ujian PCR Covid-19 dan tujuh tan pensanitasi tangan yang dibuat khusus untuk stok peralatan diplomatik (MDES), masing-masing pada Mac dan Mei 2020.

UAE adalah rakan dagang terbesar Malaysia di rantau Timur Tengah dan Asia Barat dengan jumlah dagangan dua hala bernilai US$5 bilion pada tahun lepas.

Semasa banjir melanda Semenanjung baru-baru ini, UAE negara pertama yang menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa melalui Bulan Sabit Merah UAE.

-BERNAMA


Pengarang :