Orang ramai mengharungi air yang melimpahi jalan raya dekat Kampung Darau susulan kejadian banjir yang berlaku di beberapa kawasan di Hulu Besut, Terengganu pada 26 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir cemas, dua pusat pemindahan dinaiki air

HULU TERENGGANU, 27 FEB: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Lubuk Periuk dan Kampung Peneh di sini turut dilanda banjir awal pagi ini sehingga menyebabkan penduduk yang berlindung di tempat yang sepatutnya ‘selamat’ itu cemas dan kebimbangan.

Arus banjir yang terlalu deras menyebabkan penduduk menjadi kelam-kabut dan segera menyelamatkan harta benda serta keluarga mereka ke kawasan lebih tinggi di kampung tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lubuk Periuk Abdul Rasek Ali berkata PPS di kampung itu yang menempatkan 315 mangsa pada awalnya telah ditutup pada 1 tengah hari semalam dan penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah banjir surut sepenuhnya.

“Namun, air naik lagi pada tengah malam menyebabkan lapan penduduk (empat keluarga) yang rumah mereka terletak di kawasan lebih rendah bergegas semula untuk berlindung ke PPS itu malangnya, PPS turut dinaiki air pada 6.30 pagi tadi.

“Ada penduduk tak sempat pergi ke PPS dan jumlah penduduk yang terlibat kali ini masih belum dapat dipastikan kerana banyak rumah yang dinaiki air pagi ini dan kami masih membantu pasukan penyelamat dalam operasi memindahkan penduduk ke kawasan yang lebih tinggi,” katanya.

Kampung Lubuk Periuk dan Kampung Peneh adalah antara lokasi yang sering terjejas banjir di daerah Hulu Terengganu setiap kali hujan lebat berterusan dalam tempoh yang lama.

Sementara itu, penduduk Kampung Peneh, Rosliza Abdul Ghani, 41, ketika dihubungi Bernama berkata air naik terlalu cepat susulan hujan lebat berterusan sejak malam tadi.

“Memang suasana sangat kelam-kabut, tapi penduduk saling membantu menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap di rumah mereka terutama warga emas dan kanak-kanak untuk berlindung di Masjid Kampung Peneh.

“Walaupun pekarangan masjid telah dinaiki air, bahagian dalam masjid masih selamat untuk berlindung buat sementara waktu dan ketika ini, kesemua 60 rumah di Kampung Peneh telah dinaiki air,” katanya.

— BERNAMA

 


Pengarang :