AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: CanSEL beri peluang orang ramai buat saringan cegah barah

SHAH ALAM, 5 FEB: Program Kanser Selangor (CanSEL) yang diperkenal Kerajaan Negeri memberi peluang kepada orang ramai membuat saringan bagi mencegah barah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata saringan itu meliputi ujian mamogram, kolorektal dan prostat sehingga ke tahap pengesahan penyakit.

“Bersama kita fahami dengan lebih mendalam dan libatkan diri dalam mencegah barah di kalangan keluarga dan komuniti kita,” katanya di Twitter.

Amirudin berkata Shah Alam, Petaling Jaya dan Subang Jaya dipilih sebagai bandar kedua di Asia menyertai City Cancer Challenge seperti diumum Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin Kanser Dunia di Nur-Sultan (Astana), Kazakhstan pada 15 Oktober 2019.

“Kawasan Greater Petaling ini menyertai gerakan bandar-bandar yang sedang membangun di serata dunia untuk berkolaborasi dengan semua pemegang taruh untuk membangunkan sistem pencegahan, pengawalan dan rawatan kanser yang lebih holistik dan berkesan kepada warga Selangor,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sambutan Hari Kanser Sedunia disambut 4 Februari setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan masyarakat mengambil bahagian dalam usaha pencegahan serta pengawalan barah.

“Tahun ini, tema “Close the Care Gap” dipilih dalam tujuan meningkatkan kesaksamaan rawatan pesakit kanser secara lebih umum,” katanya lagi.


Pengarang :