Dato’ Menteri Besar, Dato’ Amirudin Shari (tengah), melancarkan Program Bengkel Pengurus e-sukan JKP ZON 6 Majlis Perbandran Selayang di Kampung Melayu Batu Caves, Gombak pada 19 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB gembira perkembangan positif e-sukan di Selangor, penyertaan hingga peringkat antarabangsa

GOMBAK, 19 FEB: Dato’ Menteri Besar gembira melihat perkembangan positif e-sukan di Selangor berbanding ketika beliau memperkenalkannya tujuh tahun lalu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketika itu terdapat segelintir pihak menganggap ia program sia-sia dan tidak mendatangkan manfaat kepada generasi muda.

“Saya gembira kerana saya yang memulakan inisiatif ini ketika bergelar EXCO di peringkat negeri…pada waktu itu ramai sinikal, anggap mungkin sia-sia, kenapa ceburi perkara yang tak pasti.

“Tetapi pada waktu itu saya yakin bahawa ia boleh berkembang dan hari ini terbukti ia sampai ke peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya selepas merasmikan Bengkel Pengurusan e-Sukan di Dewan Kampung Melayu Batu Caves di sini hari ini.

Amirudin berkata perkembangan itu bukan sekadar permainan video malah memberi kemahiran lain serta menjana pendapatan kepada mereka yang menceburinya.

“Team Selangor terlibat memperkenal permainan ini daripada konteks lebih baik dan terurus.

“Saya percaya dengan cara ini mereka bukan hanya bermain ‘game’ malah mengenal pasti peluang yang boleh diperoleh,” katanya.

Pembangunan e-sukan di Selangor tahun ini menumpukan tiga cabang utama bagi melahirkan lebih ramai penggiat industri bertaraf global.

Teras itu merangkumi pemain, pengulas dan jurulatih bagi melengkapkan ekosistem sukan selain membina kerjaya dengan gaji lumayan, kata presiden Persatuan e-Sukan Selangor pada Disember lalu.


Pengarang :