Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (dua, kanan) melihat kemudahan pusat sumber Sekolah Kebangsaan Taman Samudra ketika mengadakan lawatan kerja ke sekolah tersebut di Gombak pada 24 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MBI sumbang RM35,000 bina kemudahan dua sekolah di Gombak

GOMBAK, 24 FEB: Sebanyak RM35,000 disumbangkan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI hujung tahun lalu bagi program infrastruktur di dua sekolah di daerah ini.

Jumlah itu merangkumi RM20,000 di Sekolah Rendah Agama An Nasihin, Kampung Sungai Kertas dan RM15,000 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Samudra, kata ketua tanggungjawab sosial korporatnya.

Menurut Ahmad Azri Zainal Nor, bantuan itu bagi membina tandas guru dan membaiki pagar serta bumbung di sekolah agama berkenaan manakala pembinaan susur gajah di sekolah kebangsaan.

“Kita adakan lawatan di sekolah berkenaan untuk melihat perkembangan hasil sumbangan yang diberikan pada tahun lepas iaitu pembinaan tandas, pembaikan pagar dan bumbung. Alhamdulilah semua selesai.

“Kita harap sumbangan itu dapat beri kemudahan kepada guru kerana sebelum ini tiada tandas guru dan juga dari sudut keselamatan sebab keadaan pagar sebelum ini tidak baik,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, Ahmad Azri berkata pihaknya turut meluluskan peruntukan RM10,000 kepada SK Taman Samudra bagi pembangunan pusat sumber.

MBI memperuntuk RM1.68 juta tahun ini melalui Program Kembali ke Sekolah (Back To School) yang akan memanfaatkan seramai 16,800 murid sekolah rendah.


Pengarang :