Jemaah menunaikan solat sunat tarawih dalam norma baharu dengan melakukan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka bagi mengekang penularan Covid-19 ketika tinjauan di Masjid Sultan Abdul Samad Sungai Raba, Banting pada 12 April 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Tiada SOP khusus untuk tarawih, ikut sedia ada

PUTRAJAYA, 4 FEB: Kerajaan tidak bercadang mewujudkan satu tatacara operasi piawai (SOP) khusus bagi pelaksanaan solat tarawih di masjid serta surau sempena Ramadan tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Beliau berkata SOP sedia ada berkaitan pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau adalah terpakai bagi pelaksanaan solat tarawih.

“Sekarang (pelaksanaan ibadah) masih berjalan mengikut SOP sedia ada, tidak kira sewaktu solat atau berada di kedai makan.

“SOP ditentukan Kementerian Kesihatan perlu sentiasa dipatuhi dan setakat ini, tiada (SOP) khusus untuk solat tarawih,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Bulan Solat Peringkat Kebangsaan 2022 di sini hari ini.

Antara SOP pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau pada masa ini adalah semua ahli jemaah yang hadir hendaklah membawa sejadah masing-masing sebelum hadir ke masjid, selain jemaah diwajibkan memakai pelitup muka.

Selain itu, pengurusan masjid hendaklah membuat penandaan jarak antara jemaah sekurang-kurangnya satu meter.

Mengenai penyebaran ajaran ‘mimpi’ lelaki Pakistan oleh Gerakan Akhir Zaman (Gaza) di negara ini, Idris berkata Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) diarah untuk menyiasat perkara tersebut.

“Jika ia berlaku di mana-mana negeri, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) akan hubungi Jabatan Agama Islam negeri untuk diambil tindakan sewajarnya.

“Kita akan ambil tindakan seperti ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT). Jika ada laporan mengenai ajaran sesat ini di media sosial, kita juga akan laporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kumpulan Gaza itu mengajak orang ramai mempercayai seorang lelaki dari Pakistan, Muhammad Qasim Abdul Karim, yang mendakwa hanya mengikut kehendak ALLAH SWT di dalam mimpinya.

-BERNAMA

 


Pengarang :