Yang Dipertua MPK Noraini Roslan menyerahkan sumbangan dana khas pascabanjir kepada kakitangan terjejas bah pada Disember tahun lalu/ Ihsan MPK
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPK hulur bantuan kewangan kepada 460 kakitangan terjejas banjir

SHAH ALAM, 5 FEB: Seramai 460 kakitangan Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang terkesan banjir pada Disember lalu menerima bantuan wang tunai RM500 semalam.

Yang Dipertua Noraini Roslan berkata sumbangan menerusi dana khas pascabanjir itu merupakan inisiatif pihaknya membantu warga yang kehilangan dan kerosakan harta benda.

“Penerima ini turut melibatkan lapan ahli majlis serta enam ketua jabatan. Diharap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka.

“Ini juga sebagai tanda cakna majlis terhadap kebajikan para kakitangan dan keluarga. Semoga semua mangsa terus istiqamah, kuat dan sabar dengan ujian dan dugaan ini,” katanya menerusi kenyataan.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi menjayakan program Bantuan Selangor Bangkit bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan wang tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.


Pengarang :