Sukarelawan menanam anak pokok bakau jenis ‘Rhizophora Apiculata’ dan ‘Rhizophora Mucronata’ sempena program penanaman pokok anjuran Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Jabatan Perhutanan Selangor di Sungai Sepang Besar, Pantai Pasir Putih, Sepang pada 27 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPSepang selenggara pokok besar, elak insiden tidak diingini

SEPANG, 28 FEB: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan menyelenggara pokok besar di seluruh kawasan pentadbirannya bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata bagaimanapun perkara itu perlu diteliti dengan mengambil kira lokasi penanaman semula pokok berkenaan.

“Jika tiada pilihan, pokok bahaya kita akan buang, (tetapi) kalau boleh selamatkan kita akan laksanakan pemulihan memandangkan ada dua pihak berkuasa yang mengurus perkara ini selain majlis iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Di Sepang masih terdapat tanah pertanian yang mana pokoknya bersempadan dengan jalan JKR. Jadi, kita harap tiada konflik selain dapat duduk bersama dan cari penyelesaian sewajarnya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program penanaman pokok bakau di Sungai Sepang Besar, Pantai Pasir Putih dekat sini semalam.

Pada 21 Februari lalu, sebanyak 18 kenderaan di kawasan parkir di Cyber Valley, Dengkil rosak selepas dihempap pokok tumbang ketika kejadian hujan lebat dan angin kuat.

Insiden jam 5 petang menyebabkan beberapa batang pokok besar di kawasan terbabit tumbang, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

 


Pengarang :