Orang ramai mematuhi arahan mengenakan pelitup muka selepas kerajaan mewajibkan penggunaannya di tempat awam bagi mengawal penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Omicron: Duduk rumah atas inisiatif sendiri, tak perlu tunggu arahan kerajaan, kata pakar

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak dua tahun lepas sepatutnya sudah ‘mendidik’ rakyat Malaysia tentang kesedaran kendiri serta mengambil inisiatif sendiri mengurangkan pergerakan di kawasan sesak selepas kenaikan mendadak kes jangkitan virus itu baru-baru ini.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam Dr Hanafiah Bashirun berkata orang ramai tidak perlu menunggu arahan sekatan pergerakan daripada kerajaan sebaliknya mengambil langkah proaktif berbuat demikian dalam mengekang penularan varian Omicron yang merebak dengan pantas.

“Apabila kita nak menuju ke fasa endemik, kita tidak perlu tunggu kerajaan buat keputusan. Sebagai contoh, majikan yang bijak, bila dia nampak kes Covid-19 naik, mereka akan mengurangkan jumlah pekerja yang hadir ke pejabat dan membenarkan bekerja dari rumah.

“Kenapa nak tunggu Menteri Kesihatan Khairy (Jamaluddin) buat pengumuman baru kita nak ambil tindakan. Sepatutnya apabila kita dah dapat maklumat (kenaikan kes) tindakan itu datang secara spontan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sebelum ini, Khairy mengumumkan bahawa negara kini sudah sepenuhnya berdepan dengan gelombang varian Omicron serta kes harian Covid-19 yang dijangka terus meningkat.

Mengulas lanjut, Dr Hanafiah berkata orang ramai perlu proaktif dan bertanggungjawab serta mengurangkan aktiviti sosial di luar sekiranya tiada keperluan dalam usaha menjaga kesihatan keluarga dan masyarakat sekeliling.

Beliau berkata sektor pendidikan juga perlu mengambil tindakan proaktif sekiranya kes di sekolah menunjukkan trend peningkatan tanpa menunggu pengumuman daripada Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit (Survelan) Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Asiah Ayob berkata masyarakat dan semua pihak boleh membantu mengekang penularan Covid-19 dengan mendapatkan vaksin lengkap dan dos penggalak.

“Selain itu, rakyat Malaysia yang berumur 60 tahun ke atas adalah golongan yang berisiko tinggi dan harus mendapatkan dos penggalak dengan segera.

“Terus kekal SOP (tatacara operasi piawai) sedia ada dengan lebih rapi kerana ia terbukti berkesan untuk mencegah penularan jangkitan serta harus membudayakan tingkah laku baik ini iaitu mengamalkan 3W (‘Wear, Wash and Warn’) dan mengelakkan 3S (Sempit, Sesak dan Sembang Rapat),” katanya ketika diminta mengulas mengenai kenaikan kes hari ini.

Berdasarkan laman sesawang Covid-19 KKM, kadar kebolehjangkitan (Rt) untuk seluruh negara pada Rabu, berada pada paras 1.39 dengan Sarawak merekodkan nilai tertinggi iaitu 1.68.

Diikuti Perlis (1.65), Sabah (1.59), Labuan (1.51), Terengganu (1.40) Kedah (1.36), Putrajaya (1.35), Pulau Pinang (1.34), Pahang (1.28), Johor (1.26) dan Selangor (1.25).

Bagi Perak dan Kelantan masing-masing merekodkan Rt (1.24), Melaka (1.20), Kuala Lumpur (1.18) dan terakhir Negeri Sembilan (1.14).

– BERNAMA


Pengarang :