Orang ramai melakukan aktiviti riadah sempena cuti Tahun Baharu Cina ketika tinjauan di Elmina Gardens, Seksyen U16, Shah Alam pada 2 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Orang ramai manfaat cuti Tahun Baharu Cina riadah bersama keluarga

SHAH ALAM, 2 FEB: Hari kedua cuti umum sempena Tahun Baharu Cina dimanfaatkan orang ramai untuk melakukan aktiviti riadah berhampiran kediaman masing-masing.

Tinjauan Selangorkini di Elmina Gardens, Seksyen U16 dekat sini mendapati orang ramai mengunjungi taman rekreasi awam itu seawal jam 7 pagi untuk bersenam berjoging dan berbasikal.

Pekerja swasta Mohamad Shukor Atan, 42, berkata dia bersama keluarga sering beriadah di situ setiap pagi hujung minggu atau cuti umum untuk mengisi masa terluang.

Mohamad Shukor Atan, 42

“Ini antara satu-satunya lokasi yang jadi tumpuan kami sekeluarga untuk beriadah kerana dekat dengan rumah selain memiliki kemudahan lengkap antaranya trek jogging, basikal dan permainan kanak-kanak.

“Waktu cuti digunakan sebaiknya untuk bersama keluarga kerana hari biasa saya dan isteri sibuk bekerja. Kebetulan pula kami tidak pulang ke kampung di Perak,” katanya ketika ditemui Selangorkini hari ini.

Sementara itu, suri rumah Iswati Ismail, 52, memilih untuk beriadah bersama suami dan anak bongsunya memandangkan sudah lama tidak melakukan aktiviti menyihatkan badan.

“Sebelum ini suami dan anak yang selalu jogging di sini sebab tempatnya bersih dan selesa, tetapi hari ini saya rasa teringin untuk bersama mereka. Lagipun saya tak buat apa-apa di rumah,” katanya yang menetap di Taman Delima Subang Bestari.

Ez Shafiq Haiqal Shaazman, 17

Bagi Ez Shafiq Haiqal Shaazman, 17, pula aktiviti riadah menjadi rutin wajib setiap hujung minggu dan cuti umum bagi mengekalkan stamina dan kecergasan sebagai atlet sepak takraw.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gading berkata aktiviti senaman dibuat sebagai persiapan ke perlawanan sepak takraw selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Biasanya kalau guru tidak buat kelas tambahan pada hari tersebut, saya wajib turun ke sini bersama kawan-kawan sebab akan sertai perlawanan sepak takraw.

“Aktiviti sebegini mesti berterusan kerana bukan sahaja untuk kekalkan stamina, tetapi pada masa sama mampu hilangkan tekanan selepas penat belajar,” katanya.


Pengarang :