Selangorkini
BUDAYA RENCANA

Pabila arnab mengajak kura-kura berlumba lagi

Oleh Shahkang

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

Sepurnama menjelang pilihan raya rimba. Bisikan mula menebar tentang penganjuran pilihan raya memilih Ketua Rimba. Pemerintahan Sang Gajah telah berakhir setelah tempoh sah jawatan secara sendirinya tamat, mengikut ketetapan dalam Peraturan Rimba. Mauduk perbualan marga rimba seputar isu nan sama – siapa bakal pemimpin kita?

Rimba ini moden (mungkin jua aneh?), penuh demokrasi. Mana-mana haiwan berhak menjadi ketua, dinilai daripada keupayaan memimpin dan menguruskan komuniti rencam spesies.

“Kita harus mengadakan perlumbaan sekali lagi.” Lain sedikit topik kekecohan dalam koloni arnab. Isu ini bermula dari salah satu lubang kediaman.

“Setiap kali pilihan raya, kita sering sahaja menjadi bahan ketawa! Kita tewas dengan majoriti besar kepada wakil bukan pilihan daripada komuniti murai dan semut. Ketinggalan 10.75 kali ganda daripada undian Sang Gajah! Hanya 1.95 peratus daripada jumlah pengundi memilih kita, dan 1.50 peratus adalah undian daripada koloni arnab sendiri!” seekor ahli koloni yang bekerja sebagai penganalisis politik membuat ulasan ringkas berkenaan kegagalan koloni arnab dalam pemilihan Ketua Rimba yang lepas.

“Bukan pilihan raya lepas sahaja, sejak ratusan tahun dahulu pun pencapaian kita tak pernah memuaskan. Semakin merudum!” Penganalisis terus memaparkan graf garis lengkung pada tubuh sebatang pokok. Benar, koloni arnab semakin tidak mendapat tempat dalam hati marga rimba.

Koloni arnab terus kecoh taru, berpindah daripada satu topik ke satu topik lain. Umpama pesta berbual-bual (mengumpat), berkerip-kerip daripada suatu lubang kediaman ke lubang kediaman yang lain. Masing-masing mengulas peristiwa dungu wakil koloni yang tertidur nyenyak di bawah pohon ratusan tahun dahulu. Alahai, habiskan saja perlumbaan kemudian tidurlah sehingga mati! Patutnya samseng arnab tiarapkan kura-kura sewaktu di selekoh lembah sunyi. Patutnya wakil kita dihantar berlatih di Amazon dengan pembiayaan wang koloni, ini berlatih di ceruk rimba sahaja, nak harapkan apa? Wang koloni gunakanlah untuk naikkan nama spesies, tak perlulah buat kenduri-kendara jamu lobak merah dan sawi import.

Sekumpulan arnab muda (yang lebih celik isu semasa dan dunia digital manusia) menambah lagi bingar. Dikhabarkan, kisah arnab tertidur di bawah pohon dibuat lagu kanak-kanak, dijadikan teladan untuk tidak bersikap angkuh dan terlalu yakin. Pakar motivasi manusia menceritakan mengapa arnab boleh tersungkur, kura-kura boleh menjadi juara meskipun dengan kelembabannya. Kegagalan ini dijadikan filem untuk ditertawakan sekalian umat manusia. Menurut sumber tabloid, terdapat arnab muda di benua lain membunuh diri kerana tidak tahan dengan ejekan rakan-rakan.

Ketua koloni arnab tiba-tiba menempik, cukup! Kita tidak harus membiarkan perkara ini berterusan. Peristiwa memalukan tewas kepada kura-kura harus dipadamkan daripada lipatan sejarah. Setiap anak arnab yang lahir tidak wajar menanggung malu atas kesilapan bodoh nenek moyang suatu masa dahulu.

“Kita akan berlumba semula dengan kura-kura!”

Koloni arnab menyambut dengan sorakan. Keterujaan mengapung dalam lubang kediaman. Masing-masing muncul keluar lalu berhimpun. Koloni arnab berarak ke perkampungan kura-kura di pinggir tasik meskipun sudah larut malam. Tiada siapa pun mengungkit kegagalan lama, masa untuk bangkit. Seorang arnab muda berteriak “Inilah yang kita panggil failing forward!”, lalu disambut gemuruh warga koloni meskipun tidak memahami sepatah pun Bahasa Inggeris.

“Kami mahu mengadakan perlumbaan, sekali lagi!” ketua koloni arnab mengejutkan lena koloni kura-kura.

Pak Kura sebagai pemimpin koloni berpisat-pisat muncul dari teduhan. Siapa malam-malam hadir? Aduh, esok sajalah bincang, kan sudah jauh malam. Tidak, kami nak jawapan malam ini juga (woahh – sorakan koloni arnab menyusul). Baiklah kami setuju tujuh hari lagi, cadangkanlah siapa urus setia dan laluan. Kami ikut sahaja. Pak Kura memberi kata putus.

Koloni arnab mengiya-iya teruja. Pak Kura lekas masuk tidur dengan fiil ‘lantak kau orang lah!’.

Malam itu koloni arnab tidak lena, terus bermesyuarat menetapkan beberapa perkara pokok.

Pertama, calon pelumba disaring dalam kalangan yang muda. Para calon akan menjalani saringan intensif bermula terbitnya fajar merah hari ini sehingga matahari sepenggalah tinggi.

Kedua, laluan perlumbaan dipastikan betul-betul sukar sehingga wakil kura-kura tidak mampu membuat apa-apa helah (difahamkan daripada penganalisis, pernah perlumbaan seumpama diadakan di lereng bukit dan kura-kura melantun-lantun cangkerang sehingga ke garisan penamat.).

Ketiga, pasukan khas ditubuhkan bagi melakukan apa-apa muslihat bagi menjamin kemenangan wakil arnab.

Keempat, kemenangan nanti akan disambut dengan penuh perayaan. Dengan itu, diarahkan agar lobak merah dan sayuran hijau diimport khas dari rimba lain bagi memastikan pesta keraian berlangsung dengan cukup meriah.

Kelima, kemenangan ini akan dijadikan modal politik untuk pilihan raya rimba akan datang.

Hari perlumbaan tiba, koloni arnab diwakili oleh Poosen Bolt (nama asalnya Putih Bertompok namun ditukarkan untuk publisiti atas nasihat golongan muda). Kura-kura diwakili oleh Pak Kura sendiri. Warga rimba menanti di sepanjang laluan perlumbaan bagi menyaksikan peristiwa bersejarah ini.

Tempikan ‘mula’ dilaungkan oleh Sang Rimau selaku pengadil perlumbaan. Poosen Bolt langsung memecut tanpa menoleh sepicing. Dilaung sekuat-kuat dalam dirinya, “jangan leka, jangan tidur, fokus!”. Dikhabarkan sewaktu Poosen Bolt melintas kawasan penonton, hanya desup angin dirasai tanpa bayang tubuhnya. Poosen Bolt berjaya menamatkan perlumbaan sebelum matahari melintas ke barat. Pak Kura tiba di penamat waktu hampir senja. Disambut oleh koloni arnab dengan nada mengejek dan tawa yang tidak berkesudahan

Pilihan raya rimba dijalankan. Pak Kura telah menang dengan majoriti mudah. Poosen Bolt cuma meraih undian daripada koloni arnab dan beberapa undi harimau kumbang (yang meminati dunia larian serta kurang cakna dengan isu semasa rimba).

Penganalisis arnab pun bercempera kalut mencari punca kekalahan. Mengapa dengan publisiti meluas, dicampur dengan pembetulan kisah sejarah pun masih gagal menambat hati marga rimba? Nama Poosen Bolt telah dijaja merata-rata – dikhabarkan nama Poosen Bolt tular dalam aplikasi TikTok yang digilai manusia. Nah, bukankah ini populariti jelas yang sepatutnya mampu menjadikan Poosen Bolt sebagai Ketua Rimba? Apakah marga rimba begitu buta, melangkah ke belakang dengan memilih Pak Kura yang ternyata lembab dengan rupa kurang segak itu?

“Pak Kura bukan setakat berlumba. Disebabkan begitu perlahan pergerakannya, Pak Kura mengambil peluang bertegur sapa penonton di jalanan. Pak Kura bahkan menyelesaikan masalah apabila ditanyakan pendapat. Contoh masalah moral anak muda buaya tembaga suka mengurat dan tabiat tupai menebuk buah tanpa memetik. Malah dia membenarkan tempua bertenggek di atas cangkerangnya, hanya untuk mendengar keluhan tentang manusia pengambil sarang. Ternyata Pak Kura memenangi hati marga rimba dengan sikap ambil beratnya, bukan sekadar populariti bodoh yang membosankan.” Begitulah ujar urus setia perlumbaan yang namanya enggan didedahkan.

Penganalisis, Poosen Bolt dan ahli-ahli koloni arnab tercengang, melihat antara satu sama lain sebelum bergerak masuk ke gua (lubang kediaman) masing-masing, menanggung malu yang berganda-ganda.


Pengarang :