Air Selangor akan mengagihkan bekalan air alternatif ke kawasan terjejas melalui lori tangki pengguna yang terjejas. Foto Facebook Air Selangor
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Paip pecah di Taman Andalas segera dibaiki, 11 kawasan terjejas

SHAH ALAM, 28 FEB: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan gangguan bekalan air di 11 kawasan di Klang mulai jam 8 malam ini hingga jam 4 pagi esok.

Gangguan itu susulan kejadian paip pecah di Jalan Seruling 59, Taman Seri Andalas, Kelang menyebabkan pihaknya terpaksa menutup bekalan air, bagi memastikan kerja pembaikan berjalan lancar.

Kawasan terjejas adalah Bandar Putera 2, Bandar Puteri, Jalan Bendahara, Jalan Bentara, Jalan Laksamana, Jalan Raja Nong, Jalan Seri Sarawak, Jalan Sg. Jati, Jalan Temenggung, Taman Rakyat dan Taman Sentosa.

“Bekalan air akan mula disalurkan kepada premis pengguna setelah kerja pembaikan siap dilaksanakan.

“Tempoh pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” kata Air Selangor dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, bantuan alternatif menerusi lori tangki akan digerakkan ke kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki,” katanya.

Orang ramai diminta merujuk saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

“Air Selangor juga ingin menggalakkan para pengguna untuk mengajukan sebarang pertanyaan atau aduan menerusi saluran komunikasi tanpa suara di Help Centre yang boleh didapati di
www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya.


Pengarang :