Anggota polis memantau pergerakan setiap kenderaan yang merentas daerah atau negeri pada tinjauan operasi sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Plaza Tol Bukit Jelutong, Shah Alam pada 10 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pakar yakin tiada lagi PKP, sekatan raya meski kes Covid-19 naik

SHAH ALAM, 7 FEB: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan dilaksana semula meskipun kes harian Covid-19 melonjak mutakhir ini, kata pakar epidemiologi dari Universiti Putra Malaysia.

Menurut Prof Madya Dr Malina Osman, situasi kawalan wabak berbeza berbanding dua tahun lalu ketika negara bergelut membendung penularan virus dan mendapatkan bekalan vaksin, lapor Berita Harian.

Beliau menjelaskan PKP secara menyeluruh tidak lagi sesuai berikutan menjejaskan pelbagai aspek, iaitu ekonomi, pendidikan, kesihatan mental dan sosial termasuk halangan pulang beraya.

“Kita perlu tahu bahawa situasi sekarang amat berbeza, dulu tiada liputan vaksin yang baik, kesan varian Delta yang amat teruk dan kit ujian saringan kendiri pula tidak dapat diperoleh dalam harga berpatutan, terhad untuk kemampuan segelintir pihak.

“Kini, semua faktor itu berubah ketara apabila liputan vaksin kita antara terbaik di dunia, kesan klinikal berikutan varian Omicron pula tidak begitu teruk berbanding Delta dan kit ujian saringan kendiri boleh didapati pada harga hampir 90 peratus lebih murah di pasaran,” katanya.

Pada 23 Januari, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kerajaan tidak akan melaksanakan kembali PKP dan sekatan pulang ke kampung bagi sambutan Aidilfitri tahun ini.

Sebaliknya, beliau menegaskan PKP Diperketatkan (PKPD) akan dibuat secara bersasar di kawasan yang merekodkan peningkatan kes sahaja.

Jaminan sama disuarakan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada 3 Februari, yang mengakui kes harian Covid-19 bakal meningkat, namun kelonggaran balik kampung dapat diberikan.


Pengarang :