Elavarasan dipilih sebagai pembantu jurulatih tempatan Harimau Malaya. Foto Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia.
AGENDANASIONALSUKANKINI

Pan Gon pilih Elavarasan jadi pembantu jurulatih Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Ketua jurulatih Harimau Malaya baharu Kim Pan Gon semalam mengesahkan beliau telah memilih ketua jurulatih Sarawak United FC, E. Elavarasan, sebagai pembantu jurulatih tempatan bagi skuad kebangsaan itu.

Jurulatih dari Korea Selatan itu dalam kenyataan menerusi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata Elavarasan menepati ciri-ciri yang dikehendakinya – seorang jurulatih yang mengenali pemain dan mempunyai pengalaman yang luas dalam arena bola sepak tempatan.

“Selepas meneliti calon-calon yang ditemu ramah oleh Pengarah Teknikal FAM Scott O’Donell, saya sendiri telah bertemu Elavarasan. Saya percaya beliau adalah calon terbaik dan individu yang paling sesuai untuk membantu saya dalam memberi maklumat tepat dan pendapat mengenai pasukan.

“Saya dapat lihat Elavarasan ialah jurulatih yang komited yang bersedia untuk memberi sepenuh kerjasama dalam membantu kami membawa Harimau Malaya ke tahap lebih tinggi,” kata Pan Gon mengulas mengenai bekas pemain pertahanan Selangor dan Public Bank itu.

Elavarasan, 60, yang memiliki Lesen Pro Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) (2018) itu, mengendalikan Sarawak United sejak Februari 2020 dan mengemudi pasukan dari Bumi Kenyalang itu untuk layak ke Liga Super dengan menamatkan saingan di tempat kedua di bawah Negeri Sembilan pada Liga Premier 2021.

Sementara itu, Elavarasan yang buat kali pertama akan berada di bawah pengurusan FAM, menyifatkan peluang tersebut sebagai satu penghormatan yang besar dan satu tanggungjawab kepada negara.

“Saya melihat penugasan ini sebagai satu cabaran dan juga peluang untuk saya menyumbang pada peringkat kebangsaan, saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada projek baharu ini. Harapan saya ialah pasukan kejurulatihan dapat segera menyesuaikan diri dengan etika kerja dan pemikiran ketua jurulatih, menjelang beberapa kejohanan besar tahun ini.

“Saya berterima kasih kepada Sarawak United kerana memberi saya pelepasan awal dari kontrak dan tidak dilupakan pemain dan penyokong yang telah memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang saya di Sarawak United,” katanya.

Pan Gon pada sidang media 17 Februari lalu, iaitu selepas melapor diri kepada FAM, mengumumkan pasukan kejurulatihannya yang terdiri daripada pembantu jurulatih Pau Marti Vicente, Cho Junho (jurulatih penjaga gol), Dr Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (jurulatih analisis prestasi).

Barisan kejurulatihan baharu itu dijadual mengadakan kem latihan berpusat pertama pada 14 Mac ini bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa Tier Satu menentang Filipina pada 23 Mac dan Singapura (26 Mac). Kedua-dua perlawanan tersebut akan diadakan di Singapura.

Profil Elavarasan

Nama penuh: Elavarasan A/L Elangowan

Umur: 60 tahun

Tarikh Lahir: 5 Jan 1962

Tempat Lahir: Selangor

Kelayakan Kejurulatihan: Lesen Pro AFC (2018)

Kerjaya sebagai jurulatih:

2020-2022: Sarawak United

2019: PDRM

2018: Melaka United

2015-2017: PKNS FC

2013: Terengganu

2009-2012: Felda United FC

2006: Melaka

2001-2005: Selangor Public Bank

1999: Selangor (Piala Bardhan)

1994-2000: Public Bank FC (Liga Dunhill Selangor)

Pencapaian:

1997, 1998 & 2000: Juara Liga Dunhill Selangor (Public Bank FC)

1999: Juara Piala Bardhan (Selangor)

2003: Juara Liga Premier 2 & layak ke Liga Super 2004 Super League (Selangor Public Bank)

2004: Naib johan Liga Super (Selangor Public Bank)

2006: Naib johan Liga Premier & layak ke Liga Super 2007 (Melaka)

2010: Juara Liga Premier & layak ke Liga Super 2011 (Felda United FC)

2016: Naib johan Liga Premier & layak ke Liga Super 2017 (PKNS FC)

2016: Naib Johan Piala FA (PKNS FC)

2019: Tempat ketiga Liga Premier & layak ke Liga Super 2020 (PDRM)

2021: Naib johan Liga Premier & layak ke Liga Super 2022 (Sarawak United)

-BERNAMA


Pengarang :