Pengunjung melihat lukisan pelukis ilustrasi, Mohd Norazmi Mohd Mokhtar, 42, sempena Pasar Seni Genta di perkarangan Laman Budaya Shah Alam pada 26 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pasar Seni Genta bantu jual buku pelbagai genre, rai pengkarya

SHAH ALAM, 27 FEB: Syarikat penerbitan tempatan memanfaatkan ruang disediakan Pasar Seni Genta untuk memasarkan buku pelbagai genre.

Penasihat Kata Pilar Fahd Radzy, 37, berkata lebih 50 judul buku ditawar kepada pengunjung sempena program sehari anjuran Galeri Shah Alam dengan kerjasama Rumah Seni Selangor (RUSSEL).

“Kita membawakan buku-buku umum seperti anekdot, rencam, medik serta buku puisi dan cerpen dengan orang ramai boleh mendapatkannya pada harga antara RM10 hingga RM20.

Penasihat Kata Pilar Fahd Radzy, 37, menunjukkan buku sastera yang dijual sempena Pasar Seni Genta di Laman Budaya Tasik Shah Alam pada 26 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKIN

“Pembelian dalam kuantiti tertentu juga diberikan diskaun RM3 bagi setiap buku. Program ini wajar dianjurkan dari semasa ke semasa untuk rai pengkarya,” katanyaditemui pada program berkenaan di perkarangan Laman Budaya Tasik Shah Alam hari ini.

Antara buku sastera dijual ialah Sepasang Sayap Di Bahu, Noir Kota, Senandika Nyanyi Sunyi Sepanjang Jalan, Khuldi, Nokturna, Gaun Bulan.

Rumah penerbitan itu turut mempamerkan buku sastera lain yang baharu dilancarkan semalam di Pasar Seni, Kuala Lumpur seperti Bara Hujan, Daftar Mimpi, Kata-Kata Yang Muncul Di Cermin, Pada Malam Tak Boleh Tidur dan Aku Mahu Jadi Bandar Yang Kau Lipat Ke Dalam Dompetmu.

Naskah umum yang dipasarkan pula meliputi Buku Pink 2.0, Buku Pink 3.0, Cakar Ayam Doktor, Malaikat Putih Yang Sayapnya Dilumati Darah, Doktor Tanpa Kot Putih dan Aku Dijangkiti Kehidupan.

Kata Pilar merupakan sebuah syarikat penerbitan yang menerbitkan buku-buku umum seperti anekdot medik, buku santai di sebalik tabir pelbagai kerjaya serta buku sastera seperti puisi, cerpen dan novel sejak 2015.

 


Pengarang :