Penari Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) membuat persembahan tarian sempena program Lepak Seni Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di kedai kopi Tasik Shah Alam pada 28 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pasar Seni Genta bantu pulih industri kreatif, sasar 500 pengunjung

SHAH ALAM, 22 FEB: Pasar Seni Genta di Laman Budaya Tasik Shah Alam pada Sabtu depan menyasarkan kehadiran 500 pengunjung dalam usaha membantu pemulihan industri kreatif yang malap akibat Covid-19.

Pengarah Galeri Shah Alam berkata pasar seni itu sesuai untuk semua peringkat umur kerana ia menawarkan pelbagai barangan dan hiburan untuk semua.

“Matlamat utama program ini adalah untuk melonjakkan kembali ekonomi kreatif setempat. Program ini istimewa kerana bukan sahaja menjual barang dagang seni halus dan kraf, tetapi juga jualan buku serta makanan oleh peniaga kecil.

“Terdapat juga persembahan puisi dan akustika, selain pemuzik jalanan yang bakal menyerikan lagi program pasar seni ini. Semua ini adalah hasil jaringan industri kreatif dan Galeri Shah Alam mahu membantu melonjakkan kembali ekonomi seni yang suram kerana wabak,” kata Alina Abdullah kepada SelangorKini.

Terdapat 30 vendor seni dan kraf, buku dan e-majalah serta makanan dan minuman dijangka menyertai program anjuran bersama Galeri Shah Alam dan Rumah Seni Selangor itu.

Pengunjung diwajibkan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) iaitu sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial sepanjang program yang bermula dari jam 9 pagi hingga 9 malam itu nanti.


Pengarang :