Pengunjung Pasar Seni Genta merakam foto kenangan di pekarangan Laman Budaya Tasik Shah Alam pada 26 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pasar Seni Genta wajar diterus, didik masyarakat keunikan seni kreatif

SHAH ALAM, 27 FEB: Penganjuran Pasar Seni Genta menyuntik semangat seorang penggemar puisi untuk kembali aktif dalam penulisan karya.

Masyitah Syahirah Mustapha, 25, mengakui berhenti menulis puisi sejak pandemik Covid-19 bagi memberi fokus terhadap kerjaya sebagai pembantu penyelidik.

Masyitah Syahirah Mustapha. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Menurutnya, biarpun lebih 50 puisi ditulisnya sejak 2013 belum tersiar di mana-mana syarikat penerbitan, namun tidak menghalang minatnya untuk terus berkarya.

“Sejujurnya saya meminati dunia seni terutama penulisan puisi dan mengunjungi acara seni. Saya berharap program sebegini wajar diteruskan,” katanya ditemui di perkarangan Laman Budaya Tasik Shah Alam di sini hari ini.

Mengulas perancangan selepas kembali aktif dalam bidang itu, anak bongsu daripada dua beradik yang berasal dari Sabah bagaimanapun belum bersedia untuk menghantar karya puisi ke mana-mana syarikat penerbitan.

Natasya Eirdyna Hairulnizam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Seorang lagi pengunjung Natasya Eirdyna Hairulnizam, 22, berkata minat mendalam terhadap bidang seni kreatif mendorongnya hadir ke acara berkenaan bersama dua rakan.

Pelajar semester kedua jurusan Association of Charted Certified Accounts (ACCA) dari Kolej Universiti KDU berkata program tersebut mendedahkannya terhadap keunikan dan kepelbagaian cabang seni kreatif.

“Sebelum ini saya beranggapan seni kreatif hanya lukisan semata-mata sebab saya suka melukis, tetapi sebenarnya skopnya sangat luas.

“Program sebegini sangat bagus kerana beri peluang kepada saya untuk lihat persembahan daripada kumpulan muzik dan pemuisi selain menyokong pempamer seni, kraf serta buku,” katanya.

Raihana Jasmine Jefree. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Raihana Jasmine Jefree, 25, pula mengakui gemar mengunjungi aktiviti santai selepas sudah lama tidak berbuat demikian atas faktor kekangan kerja.

“Saya tidak arif bab seni dan penulisan tetapi sejujurnya saya suka datang ke acara seperti ini dan melepak bersama kawan-kawan.

“Cuma saya berpandangan aktiviti seperti ini wajar dianjurkan dari semasa ke semasa serta mendedahkan kita dengan seni kreatif,” katanya


Pengarang :