Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Zamani Ahmad Mansor melancarkan penubuhan pasukan pemantau aduan di pekarangan Dewan Banquet Wisma MBSA pada 9 Februari 2022. Foto MBSA
PBTSELANGOR

Pasukan pemantau MBSA perkasa urusan aduan penduduk setempat

SHAH ALAM, 10 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menubuhkan pasukan pemantau bagi memperkasa pengurusan aduan awam di semua kawasan di bawah pentadbirannya.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya, Shahrin Ahmad berkata pasukan yang dianggotai 112 kakitangan pelbagai jabatan, bahagian dan pejabat cawangan akan memantau seluruh 56 seksyen bawah pentadbiran MBSA.

Menurutnya, sebanyak 28 pasukan terdiri empat ahli bagi setiap kumpulan terlibat dalam pasukan berkenaan dan mereka akan mengenal pasti lebih awal isu dan masalah berpotensi yang disalurkan komuniti.

“Pasukan ini dibahagikan mengikut zon iaitu 12 pasukan di zon Tengah (Seksyen 1 hingga Seksyen 24), 10 pasukan di zon Utara (seksyen U1 hingga Seksyen U20), enam pasukan zon Selatan (Seksyen 25 hingga Seksyen 36) dengan setiap pasukan memantau dua Seksyen.

“Pada peringkat permulaan, pasukan pemantau aduan akan memberi tumpuan kepada lima kategori aduan yang mencatatkan aduan tertinggi iaitu sampah, lampu, pokok, jalan dan papan tanda jalan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Shahrin berkata pengurusan aduan awam perlu diperkasa bagi memperkasa kesejahteraan, keselesaan dan keharmonian masyarakat setempat.

“Penubuhan pasukan pemantau adalah komitmen berterusan MBSA untuk mempertingkatkan lagi perkhidmatan serta memperbaiki sistem pengurusan aduan awam demi kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.

Justeru, orang ramai yang ingin menyalurkan aduan boleh menghubungi pusat panggilan aduan MBSA di talian bebas tol 1-800-88-4477 atau laman sesawang www.aduan.mbsa.gov.my atau aplikasi I-adu.


Pengarang :