Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan Siti Syuhada Sadiman mengambil bacaan suhu badan pelajar tingkatan lima Mohammad Izzueddin Amirhamza (kiri) yang mendaftar masuk ke asrama sekolah itu pada 23 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pelajar bukan calon SPM pulang Tahun Baharu Cina tidak dibenar balik ke asrama

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan bahawa pelajar daripada bukan kelas peperiksaan yang pulang bercuti sempena perayaan Tahun Baharu Cina, tidak dibenarkan pulang ke asrama sebaliknya melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menterinya Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata keputusan itu, bagi memastikan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, berada dalam keadaan terlindung daripada jangkitan Covid-19.

“Kita akan terus memastikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di sekolah berasrama khususnya, dapat dipertingkatkan. KPM juga telah meningkatkan pemantauan di sekolah di bawah KPM, bagi memastikan segala SOP dapat dipatuhi dan dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman Facebooknya.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan isu berkaitan peningkatan kes Covid-19 dalam sektor pendidikan, di mana sebanyak 118,238 jumlah kumulatif kes Covid-19 dicatatkan dalam tempoh 1 Jan hingga 1 Feb tahun ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 8,451 kes (7.15 peratus) adalah kes berkaitan kluster pendidikan, manakala selebihnya iaitu 109,787 (92.85 peratus) melibatkan lain-lain kluster.

“Secara keseluruhan terdapat 303 kluster di seluruh negara dalam (1 Jan hingga 1 Feb), daripada jumlah kluster ini, 100 kluster atau 33 peratus, melibatkan institusi pendidikan di bawah KPM manakala, 86 kluster atau 28.38 peratus melibatkan institusi bukan bawah KPM.

“100 kluster di bawah intsitusi bawah KPM tadi, melibatkan keseluruhannya 5,494 kes, dan daripada 100 kluster ini, 96 kluster melibatkan institusi bawah KPM manakala empat kluster merupakan institusi swasta yang berdaftar bawah KPM,” katanya.

Menurutnya, daripada 96 kluster yang melibatkan institusi di bawah KPM, sebanyak 84 kluster membabitkan institusi berasrama, terdiri daripada 76 kluster daripada asrama harian dan lapan kluster daripada intstitusi berasrama sepenuhnya.

“Jika kita ambil kira keseluruhan institusi berasrama di bawah KPM, iaitu 1,918 buah institusi, 84 kluster ini adalah bersamaan 4.38 peratus daripada keseluruhan institusi berasrama di bawah KPM,” katanya.

Selain itu, beliau berkata bagi institusi bukan berasrama, terdapat 12 kluster direkodkan melibatkan dua kluster sekolah menengah dan 10 kluster daripada sekolah rendah.

“Jika dilihat 12 kluster ini dan bandingkan dengan keseluruhan 8,356 institusi bukan berasrama di bawah KPM, kita dapati bahawa jumlah 12 kluster ini adalah bersamaan dengan 0.14 peratus daripada keseluruhan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :