Pengawai Penyelaras Projek Smart Selangor Syaridan Abu Samah (kiri) bersama Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Smart Selangor Fazuin Mohd Yusoff menunjukkan aplikasi Smart Selangor Parking ketika majlis Pelancaran Pemakluman Penggunaan e-kupon Menerusi Aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) Menggantikan Kupon Parking Kertas Bermula 3 Januari 2022 di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 18 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Pelaksanaan parkir digital bantu kumpul data lokasi tumpuan, mudahkan rancangan pembangunan

SHAH ALAM, 21 FEB: Pelaksanaan sistem parkir digital Smart Selangor Parking (SSP) dapat membantu memudahkan Kerajaan Negeri mengesan lokasi tumpuan orang ramai.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata menerusi SSP pihaknya dapat memperoleh data raya (big data) bagi merancang pelbagai kemudahan pada masa akan datang.

“Manfaat daripada SSP adalah kita dapat kesan lokasi yang menjadi tumpuan awam.

“Daripada data ini juga, kita boleh merancang untuk membina tempat parkir bertingkat atau pelbagai kemudahan lain,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga bercadang melaksanakan kawasan parkir terhad atau sistem parkir bertempoh sekurang-kurangnya selama dua jam dalam masa terdekat.

“Dengan kaedah ini, semua orang dapat parkir. Sebagai contoh, di kawasan tumpuan orang ramai tempat parkir yang dipenuhidi sekitarnya sehingga sukar untuk pengguna lain meletak kenderaan.

“Kita mahu PBT yang menentukan lot parkir sesuai untuk dihadkan tempohnya sama ada di bank atau restoran popular,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Selangor memansuhkan penggunaan kupon parkir kertas gores dan menguatkuasakan e-kupon melalui aplikasi SSP yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play Store.

Setakat ini, orang ramai masih dibenar menggunakan kupon parkir bergores di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini sehingga hujung Mac bagi membolehkan mereka menghabiskan stok sedia ada.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 1-700-81-9612, atau e-mel [email protected].


Pengarang :