Vaksin Covid-19 jenis Sinovac yang diberikan kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam pada 7 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penerima Sinovac boleh ambil dos penggalak jenis sama – Khairy

PUTRAJAYA, 7 FEB: Penerima vaksin dos primer Sinovac kini boleh menerima jenama vaksin yang sama sebagai dos penggalak, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Katanya, ia berikutan keengganan segelintir penerima vaksin Sinovac menerima suntikan dos campuran Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca.

“Walaupun KKM (Kementerian Kesihatan) masih berpandangan bahawa kita lebih galakkan mereka terima Pfizer atau AstraZeneca, tetapi mana-mana dos penggalak lebih baik daripada tiada dos penggalak langsung,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.

Sebagai analoginya, beliau berkata KKM menyarankan individu mengembara ke tempat musim sejuk dan memberi kot percuma tetapi mereka enggan menerimanya dan hanya memakai kemeja-T sahaja.

“Okaylah, kemeja-T itu lebih baik daripada mereka tidak pakai apa-apa, jadi kita akan beri mereka pilihan,” katanya menambah bahawa sehingga kini terdapat 3.5 juta penerima vaksin primer Sinovac masih belum mendapat (dos) penggalak mereka lagi dan KKM akan mengeluarkan janji temu bagi dos penggalak,” katanya.

Menurut Khairy lagi, sijil vaksinasi penerima dos primer Sinovac dalam aplikasi MySejahtera juga akan bertukar menjadi putih sekiranya individu berkenaan tidak mendapatkan dos penggalak sebelum Mac ini.

“Jika mereka tidak mendapatkan dos penggalak pada Februari ini, sijil vaksinasi kuning mereka akan bertukar menjadi putih mulai 1 Mac,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengulangi peringatan agar semua penduduk berusia 60 tahun dan ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac 2022.

Mengenai bekas pesakit Covid-19 yang dibenarkan pulang dari pusat kuarantin dan kebolehjangkitan virus sekiranya berada dalam ruang kenderaan yang terhad, Khairy berkata kesannya adalah sangat minimum.

“Sangat-sangat minimum (kebolehjangkitan). Sebaik sahaja anda keluar dari PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19), anda adalah negatif (daripada wabak itu),” katanya menyarankan agar mengelakkan sentuhan pada individu dalam kenderaan.

Mengenai kesan advers susulan imunisasi (AEFI) berkaitan dos penggalak, Khairy berkata Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan mengeluarkan laporan mingguan kes dan kategori AEFI untuk orang ramai menyemak maklumat atau kes tular di media sosial seterusnya memberi keyakinan kepada mereka mendapatkan dos penggalak.

Beliau berkata secara keseluruhan, Sistem Pelaporan AEFI NPRA telah menerima 24,788 laporan AEFI termasuk 1,004 laporan melibatkan dos penggalak vaksin Covid-19 sehingga 31 Jan lepas.

“Kadar pelaporan AEFI bagi dos penggalak direkodkan pada 84 bagi setiap satu juta dos berbanding kadar pelaporan AEFI keseluruhan 390 per satu juta dos.

Laporan untuk AEFI bagi dos penggalak secara berkadaran adalah jauh lebih kurang (rendah) berbanding dos primer. Ini terpaksa saya bangkitkan kerana sekarang ini berlaku banyak tuduhan mengatakan dos penggalak telah menyebabkan kesan advers yang serius,” katanya.

Beliau berkata daripada jumlah laporan AEFI bagi dos penggalak, 64 laporan diklasifikasikan sebagai serius bersamaan kadar lima laporan bagi setiap satu juta dos.

Katanya, jumlah itu jauh lebih rendah berbanding laporan AEFI serius yang diterima bagi keseluruhan termasuk dos pertama dan kedua, iaitu pada kadar 27 laporan bagi setiap satu juta dos.

“Majoriti AEFI yang dilaporkan adalah ringan dan biasanya akan pulih dalam tempoh masa beberapa hari sahaja. Trend ini adalah setara dengan pelaporan yang diterima bagi dos primer tetapi dengan kadar pelaporan yang lebih rendah untuk dos penggalak,” katanya.

Beliau berkata kadar pelaporan ISRR (Immunisation stress-related reaction) bagi dos penggalak lapan kali lebih rendah berbanding dengan dos pertama dan tiga kali lebih rendah berbanding dengan dos kedua.

Khairy berkata laporan pemantauan kesan advers di negara rujukan lain seperti Amerika Syarikat dan Australia menunjukkan penemuan sama dengan Malaysia iaitu tiada perubahan trend pelaporan kesan advers yang dilaporkan semasa pemberian dos penggalak berbanding dos primer.

Selain itu, beliau memaklumkan pelaporan AEFI melibatkan kanak-kanak setakat hari ini adalah sifar daripada hampir 18,000 dos vaksin yang diberikan.

Mengenai pelaporan AEFI bagi pemberian lebih 5.6 juta dos vaksin kepada remaja berumur 12 tahun sehingga 17 tahun, beliau berkata sebanyak 74 pelaporan AEFI serius iaitu 0.013 per seribu dos dan kebanyakan kes itu telah pulih.

– BERNAMA


Pengarang :