Orang ramai sedang menikmati suasana di lokasi perkhemahan mewah bersempena dengan pelancaran rasmi OSK Iringan Bayu Wetland Park. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Perkhemahan mewah bantu terapi diri, didik cinta alam semula jadi

Oleh Balkish Awang

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Jika dahulu trend percutian di hotel menjadi pilihan, kini percutian secara perkhemahan semakin menjadi kegemaran ramai, bertemankan suasana damai alam semula jadi.

Apatah lagi ditambah dengan bunyi air sungai mengalir, menjadikan bagi sesetengah orang, aktiviti perkhemahan di tepi sungai sebagai terapi diri yang amat memberi ketenangan.

Ada juga yang memilih untuk menghabiskan masa bersama keluarga berkhemah di tepi laut yang tidak kurangnya memberikan pemandangan serta kepuasan yang mengasyikkan. Selain daripada menyewa khemah sendiri di tapak perkhemahan, kini konsep ‘Glamping’ yang merupakan gabungan ‘glam’ (glamour) dan ‘camping’ (berkhemah) turut menjadi pilihan masyarakat kerana keunikannya.

Ia menampilkan konsep glamor dengan dihiasi aksesori lengkap termasuk lampu berkelipan.

Berbeza dengan perkhemahan biasa, kawasan yang menyediakan glamping tidak memerlukan pengunjung membawa atau memasang khemah sendiri sebaliknya ia lengkap dengan kemudahan makanan dan tempat tidur yang selesa. Trend ini menjadi fenomena baharu dalam landskap aktiviti percutian.

Minat aktiviti luar cetus idea

Minat mendalam terhadap aktiviti rekreasi luaran (outdoor) seperti mendaki, trekking, membuatkan Anis Hartini Haron, 41, membuka The Baruh Glamping, pusat aktiviti perkhemahan berkonsepkan glamping ini, bersama keluarganya.

Terletak di Pantai Puteri, Tanjung Kling (Melaka), tapak perkhemahan ini terletak di tanah seluas sekitar 0.4 hektar milik keluarga Anis Hartini dan beroperasi sejak 2021.

Menurut Anis Hartini yang juga pengurus pusat itu, pada asalnya, keluarganya mahu membuka inap desa di tanah berkenaan, namun beliau lebih berminat sekiranya ia digunakan untuk bisnes glamping.

“Konsep ini timbul selepas memikirkan ada segelintir orang mahu cuba aktiviti perkhemahan, tetapi tidak mahu kerah tenaga memasang khemah dan sebagainya. Jadi glamping adalah konsep tepat untuk mereka yang mahu menghabiskan masa kegembiraan bersama keluarga selain tidak perlu penat dan bersusah payah membawa peralatan perkhemahan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau turut membuat penyelidikan terlebih dahulu tentang konsep glamping dengan mencuba sendiri pengalaman glamping di lima buah tempat di Malaysia iaitu Janda Baik, Bukit Jelutong, Shah Alam, Cameron Highlands dan Hulu Langat.

“Keistimewaan di The Baruh Glamping adalah selain daripada lokasi yang menghadap ke laut, pengunjung dapat melakukan kegiatan memancing, menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), bermain congkak dan batu seremban, barbeku dan mandi laut,” katanya yang mempunyai tujuh orang pekerja.

Apa yang mengembirakan Anis Hartini, konsep glamping yang diketengahkannya itu turut mendapat sambutan bukan sahaja dari kalangan mereka yang berkeluarga dan kanak-kanak tetapi turut menarik perhatian pengunjung warga emas.

“Respon baik selain kanak-kanak, warga emas banyak memberitahu saya mereka suka dengan konsep ini kerana ia berbeza daripada apa yang mereka sangkakan. Ada pelanggan kata dia risau tak boleh tidur sebelum datang ke sini, fikir tidur dalam hutan dan sebagainya, tetapi setelah datang, mereka teruja dan mahu datang lagi,” katanya yang turut menerima pengunjung dari Perlis dan Johor.

Antara kemudahan yang disediakan di The Baruh Glamping adalah khemah keluarga termasuk kipas, penghawa dingin, dua katil dewasa untuk empat dewasa atau dua dewasa serta dua kanak-kanak. Bayaran yang dikenakan bermula daripada RM342 semalam dan ke atas.

Untuk barbeku, bayaran RM55 seorang dikenakan untuk dewasa, kanak-kanak RM45 serta terdapat juga barbeku di tepi laut dengan harga RM75 untuk dewasa dan RM55 untuk kanak-kanak termasuk makanan dan minuman lain.

Bermalam di tapak perkhemahan

Selain daripada glamping, berkhemah bersama keluarga juga menjadi satu kegiatan menyeronokkan kerana berbanding sebelum ini aktiviti mandi tepi sungai lebih kepada ‘balik hari’, kini trend bermalam menjadi pilihan.

Satu lagi lokasi glamping, Bamboocamp yang terletak di Hulu Langat, turut menyediakan tapak perkhemahan bagi membolehkan pengunjung beriadah di tepi sungai serta bermalam di situ.

Pengurusnya Nuratiqah Abdul Karim, 31, berkata konsep perniagaan itu dipilih kerana keunikan yang dapat diberikan kepada pelanggan yang berkesempatan belajar mengenal dan menghargai alam semula jadi.

“Jika di hotel aktiviti hanya terhad di dalam bilik tetapi apabila berkhemah, kita dapat belajar sesuatu lebih ke arah tanggungjawab menghargai alam semula jadi dan secara tidak langsung dapat mendidik generasi akan datang mengenai penjagaan alam, ” katanya yang memulakan perniagaan itu sejak tahun 2009 bersama keluarganya dengan modal RM30,000 iaitu wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bapanya.

Di tanah seluas kira-kira 0.2 hektar itu, terdapat sehingga lapan buah khemah yang boleh disewa dalam satu-satu masa dengan kadar sewa RM50 semalam. Untuk khemah di atas pondok, sebanyak 15 khemah disediakan dengan kadar sewa antara RM80-RM200 dengan kemudahan tempat barbeku, tandas, surau, tempat letak kereta serta kolam mandi untuk kanak-kanak.

“Percutian sebegini sangatlah baik untuk mengeratkan ukhuwah keluarga. Duit boleh dicari namun memori tidak boleh dibeli. Meluangkan masa dengan aktiviti riadah seperti ini lebih bagus kerana setiap detik dilakukan bersama,” katanya.

Aktiviti menyeronokkan

Bagi Siti Fatimah Mohamed Anwar, 41, kedua-dua aktiviti glamping dan perkhemahan adalah menyeronokkan, namun glamping istimewa kerana ia lebih privasi selain tidak memenatkan.

“Glamping adalah satu percutian atau aktiviti riadah pilihan masa kini, sesuai untuk individu dan keluarga terutama mereka yang ingin menikmati suasana perkhemahan dalam masa yang sama mementingkan keselesaan serta ruang privasi, jadi bagi golongan ini glamping sesuai untuk dicuba. Tidak perlu fikir soal makan berbanding berkhemah, semua perlu disediakan dari awal hingga akhir,” katanya.

Siti Fatimah yang sering melakukan aktiviti perkhemahan bersama suami dan anak lelakinya, akan memilih glamping sebagai riadah jika percutian pendek kerana ia lebih santai dan tenang selain tidak perlu membawa pelbagai peralatan dari rumah.

“Mengenai kos ya sudah tentu glamping lebih mahal tetapi semua perkara sudah tersedia termasuk makan. Pengunjung hanya perlu membawa diri semata-mata. Untuk mereka yang mahu percutian selesa dalam masa sama mahu menikmati keindahan alam semula jadi, glamping lebih sesuai,” katanya.

Dedah anak kecil dengan alam, kurangkan gajet

Turut menggemari aktiviti rekreasi luaran dan mendaki bukit, pasangan suami isteri Wong Che Wey dan isteri Cheng Yee Leng, masing-masing berusia 38 tahun, sering melakukan aktiviti perkhemahan bersama dengan anak perempuan mereka Wong Kyla, empat tahun serta anak lelaki Wong Kyren berusia dua tahun.

Banyak sudah tempat perkhemahan yang dikunjungi Wong dan nampaknya minat itu kini turut dikongsi oleh kedua-dua orang anaknya. Mereka akan berasa kekok apabila terlalu lama duduk di rumah dan tidak melakukan aktiviti itu.

“Saya mula mendedahkan anak saya dengan dunia perkhemahan sejak berusia 11 bulan untuk anak pertama manakala anak kedua, sejak usia empat bulan saya dah bawa pergi jalankan aktiviti berkhemah. Setakat ini, setiap dua minggu saya dan keluarga akan membuat rutin tersebut, jika tidak anak-anak pun tak berhenti bertanya bila hendak keluar (berkhemah),” katanya.

Bagi Wong, aktiviti perkhemahan boleh merangsang minda dan jiwa anak-anak terhadap alam persekitaran serta menghargainya, di samping mengurangkan masa anak-anak dengan gajet.

“Paling penting dengan berkhemah ini, dapat mengelakkan anak-anak daripada leka dengan gajet, televisyen dan dunia teknologi. Di rumah mereka sudah banyak habiskan masa dengan alat itu. Apabila di sini (berkhemah) memang anak-anak tidak akan bermain gajet dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap alam persekitaran. Anak-anak memang enjoy,” katanya yang pernah berkhemah di Gopeng (Perak), Janda Baik dan Pos Lemoi (Pahang) serta sekitar Selangor antaranya Batang Kali dan Hulu Langat.

Sementara itu pekerja Grab, Jason Chan, 45, yang lebih 60 kali melakukan aktiviti perkhemahan di sekitar Lembah Klang berkata aktiviti berkenaan lebih santai di samping dapat berbual-bual bersama keluarga serta rakan selain menikmati suasana luar yang tenang.

“Menerusi aktiviti perkhemahan kita dapat luang banyak masa dengan keluarga, memasang khemah, memasak dan membuat unggun api. Berbanding di hotel rasanya lebih kurang di rumah, kemudahan yang sama dengan kondominium. Bagi saya hotel cuma untuk penginapan berbanding camping,” katanya.

Minat yang mendalam terhadap perkhemahan mendorong Jason mencipta suasana sama di rumah sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB ) yang turut tidak membenarkan aktiviti luaran.

“Semasa PKPB memang perlu duduk rumah, kepada kaki camping macam saya memang tidak boleh tahan hendak lepaskan gian berkhemah. Masa PKPB memang stres dekat rumah, jadi saya pasang khemah di balkoni dan cipta memori seperti sedang berkhemah di luar,” katanya yang memuatnaik gambar tersebut di laman facebook miliknya dan mencuri perhatian ramai.

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

-BERNAMA


Pengarang :