Jemaah menunaikan solat sunat tarawih dalam norma baharu dengan melakukan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka bagi mengekang penularan Covid-19 ketika tinjauan di Masjid Sultan Abdul Samad Sungai Raba, Banting pada 12 April 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Perlu dos penggalak untuk sertai aktiviti masjid, negeri tunggu perkenan Sultan

GOMBAK, 19 FEB: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyarankan hanya individu yang mengambil dos penggalak sahaja diberi kebenaran terlibat dalam aktiviti di surau dan masjid ketika Ramadan.

Bagaimanapun, Dato’ Menteri Besar berkata keputusan itu hanya boleh dimuktamadkan setelah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Ia bukan hak saya untuk mengumumkannya tetapi saranan itu disokong Majlis Keselamatan Negeri (MKN) pengurusan pandemik Covid-19.

“Kita menunggu perkenan Tuanku untuk meluluskan garis panduan dan tatacara operasi piawai (SOP) aktiviti ibadah di masjid atau surau kerana kebiasaannya menjadi tumpuan pada Ramadan,“ kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas merasmikan Bengkel Pengurusan e-Sukan di Dewan Kampung Melayu Batu Caves di sini hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri bersetuju menimbang keperluan pengambilan dos penggalak sebagai salah satu faktor dalam kebenaran penglibatan program berkaitan.

Amirudin berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor: Pengurusan Pandemik kali kedua untuk 2022 pada 14 Februari lalu.


Pengarang :