EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menunjukkan poster Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) ketika diwawancara Media Selangor di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam pada 28 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN /SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Persidangan halal platform pemain industri luaskan jaringan kerjasama

SHAH ALAM, 28 FEB: Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) menjadi platform pemadanan perniagaan bagi pemain industri meluaskan jaringan kerjasama.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata sebanyak 20 syarikat terdiri beberapa pasaraya tempatan dan luar negara serta dagangan eksport akan terlibat dalam sesi berkenaan.

“Sekarang agak sukar untuk pengguna mendapatkan sumber halal dengan harga berpatutan kerana mungkin disebabkan persaingan. Jadi, pastinya Selhac tempat terbaik mempertemukan mereka (pembekal dan pengguna).

“Pembekal produk halal dan pengguna boleh duduk bersama dan berbincang. Jika bersetuju mereka boleh memetarai memorandum persefahaman (MoU) untuk menjadi rakan strategik sekali gus merancakkan industri ini,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri membelanja sejumlah RM300,000 bagi menjayakan penganjuran sulung Selhac yang berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Mac di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini.

Menurutnya, kos itu meliputi pengiklanan, persiapan lokasi dan keperluan lain manakala pempamer dikenakan sewa dari RM4,999 sehingga RM24,000 bergantung kepada keluasan gerai.

“Dengan keadaan pandemik Covid-19, kos itu mungkin tidak mampu menampung keseluruhannya, tetapi insya-Allah yang terbaik.

“Pempamer menyewa gerai sebagai komitmen untuk menjayakan Selhac. Jika diberi secara percuma, kita bimbang mereka akan buat sambil lewa yang akan memberi risiko kepada penganjur,” katanya lagi.

Bermula jam 10 pagi hingga 9.30 malam, Selhac melibatkan tiga komponen merangkumi forum, ekspo dan padanan perniagaan.

Pempamer terdiri daripada enam kluster iaitu makanan dan minuman, kesihatan dan farmaseutikal, kecantikan dan penjagaan diri, hospitalisasi dan pelancongan serta fesyen sopan dan ramuan.

 


Pengarang :