Petugas memantau situasi semasa sekitar Kuala Lumpur di bilik kawalan Terowong Smart. Foto Facebook Smart Tunnel
AGENDANASIONAL

PM: Kerajaan pertimbang bina terowong atasi banjir di Shah Alam

SHAH ALAM, 4 FEB: Kerajaan menimbangkan cadangan membangunkan saluran bawah tanah seumpama Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Smart) di Kuala Lumpur bagi mengatasi banjir di kawasan berpenduduk padat.

“Membina terowong Smart terutama di bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Shah Alam,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Cadangan ini dikemukakan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) semalam yang melibat kementerian berkaitan dan juga pemimpin utama negeri.

Dalam kenyataannya hari ini, perdana menteri juga memaklumkan mesyuarat itu secara dasarnya bersetuju dengan cadangan jangka pendek dan jangka panjang berikut:

1. Mengenal pasti pusat pemindahan sementara (PPS) tetap dan melengkapkannya dengan kemudahan seperti tandas, bilik mandi dan stor untuk penyimpanan barangan keperluan asas bagi mangsa banjir seperti tilam, dan khemah.

2. Bagi sekolah berasrama yang dijadikan sebagai PPS, kawasan asrama akan dijadikan kawasan penempatan mangsa banjir.

3. Pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan diberikan tanggungjawab untuk memastikan saluran perparitan dalam keadaan baik.

4. Menaik taraf, mendalamkan dan melebarkan sungai-sungai utama.

5. Meninggikan benteng dan ban sungai serta parit.

6. Membina lebih banyak tebatan banjir.

7. Membina empangan dan stesen pintu kawalan air (baraj) bagi mengawal kenaikan paras air.

8. Membangunkan kawasan penempatan berdaya tahan seperti ‘sponge city’ di China.

9. Mewujudkan takungan air atau ‘kota takungan pinggir sungai’ seperti di Belanda.

10. Pemindahan kawasan kampung di tepi sungai yang berisko banjir ke kawasan yang lebih tinggi.

11. Mewujudkan Pusat Ramalan Cuaca Numerikal Kebangsaan.

12. Meningkatkan sistem siren dan amaran berkaitan banjir di pusat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selain pemantauan bencana banjir menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

13. Membangunkan sistem ramalan dan amaran banjir berasaskan kecerdasan buatan serta sistem amaran awal banjir lumpur.

14. Menaik taraf 100 buah stesen pencerapan cuaca permukaan automatik sedia ada yang telah usang.

15. Mengawal penebangan hutan.

16. Kelulusan pelan perancangan bandar hendaklah mengambil kira tentang risiko banjir.


Pengarang :