Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh menunjukkan sebahagian daripada 135 mesin bitcoin yang dirampas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat pada 11 Februari 2022. Foto Facebook Polis Daerah Kuala Langat
AGENDANASIONAL

Polis Kuala Langat rampas 135 mesin bitcoin

SHAH ALAM, 11 FEB: Polis merampas 135 unit mesin bitcoin menerusi serbuan di dua rumah kedai sekitar Banting petang semalam selepas mengesyaki berlaku kegiatan mencuri bekalan elektrik untuk perlombongan bitcoin.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata serbuan dilakukan selepas mendapat maklumat daripada pihak Tenaga Nasional Bhd yang mendapati terdapat bacaan meragukan pada meter kedua-dua premis berkenaan dan mengesyaki ada berlaku kecurian elektrik disebabkan kegiatan berkenaan.

Selain mesin bitcoin, beliau berkata pihaknya turut merampas beberapa peralatan komputer dan modem.

“Semasa serbuan dijalankan, tiada penjaga premis yang berada di kedua-dua premis tersebut dan polis sedang berusaha untuk mengesan penyewa dan pemilik premis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata aktiviti haram tersebut dipercayai telah dijalankan selama lebih kurang sebulan.

Katanya polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap semua premis yang menjalankan aktiviti bitcoin secara haram serta mencuri elektrik sehingga menyebabkan pihak TNB mengalami kerugian.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan khianat ke atas elektrik yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

– BERNAMA


Pengarang :