Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang akhbar pada 24 Februari 2022. Foto Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya
AGENDAJENAYAH

Polis tahan dua lelaki edar dadah nilai lebih RM60,000

PETALING JAYA, 24 FEB: Polis menahan dua lelaki disyaki pengedar dadah dan merampas ganja bernilai lebih RM60,000 dalam operasi di Damansara di sini dan Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lelaki pertama berusia 34 tahun ditahan di dalam sebuah kereta Proton Satria di parkir kenderaan sebuah pasar raya di Damansara pada 6.30 petang.

“Hasil pemeriksaan ke atas kereta itu, polis menemukan sebuah kotak mengandungi 17 ketulan mampat dipercayai ganja seberat 16.21 kilogram dianggarkan bernilai RM53,493. Polis turut merampas kereta itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Berdasarkan maklumat daripada lelaki terbabit, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail dan menahan seorang lelaki berusia 44 tahun, setengah jam kemudian.

“Hasil pemeriksaan di dalam bilik pertama rumah itu menemukan tiga ketulan mampat dipercayai ganja seberat 2.92 kilogram dianggar bernilai RM9,636 di dalam sebuah beg di dalam almari,” katanya sambil menambah polis turut menyita kereta jenis Volkswagen Golf dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

Beliau berkata kedua-dua lelaki terbabit didapati mempunyai rekod jenayah berkaitan pengedaran dadah dan mereka kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA


Pengarang :