Datuk Seri Anwar Ibrahim (enam, kiri) menyerahkan watikah kepada semua calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri Johor pada 22 Februari 2022. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

PRN Johor: 20 calon KEADILAN dapat watikah, Anwar gesa fahami isu setempat

SHAH ALAM, 22 FEB: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyerahkan watikah kepada calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Dalam kenyataan ringkas di Facebook, presiden parti itu turut menggesa semua calon memahami isu setempat tanpa menyisihkan hal nasional yang memberi kesan kepada rakyat.

“Mendengar, memahami dan bertindak pada kehendak rakyat antara ciri yang mesti digarap dengan baik oleh calon-calon. Semoga iltizam terus diperkukuh dan mara demi rakyat,” katanya.

KEADILAN mencalonkan 20 individu termasuk bekas Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik mewakili parti itu dalam PRN bulan depan.

DAP, rakan komponen dalam Pakatan Harapan bersama KEADILAN mengumumkan 12 calon setakat ini manakala Parti Amanah Negara (Amanah) meletakkan 16 calon.

Penamaan calon PRN Johor ditetapkan Sabtu ini, sementara hari mengundi jatuhnya pada 12 Mac.


Pengarang :