AGENDANASIONAL

PRN Johor: KPM mohon kecualikan sekolah menengah sebagai pusat undi

JOHOR BAHRU, 12 FEB: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memohon kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar sekolah menengah tidak digunakan sebagai pusat mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata ini bagi memastikan kelancaran perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan bermula dari 2 hingga 29 Mac ini.

Beliau berkata sehubungan itu, pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada SPR berkaitan perkara itu dalam masa terdekat.

“Saya dapat maklumat dalam beberapa sesi libat urus ada dinyatakan oleh guru-guru bahawa sekolah menengah akan digunakan sebagai pusat mengundi pada PRN akan datang.

“Secara rasminya, kita masih belum menerima permohonan daripada SPR untuk menggunakan premis sekolah walaupun kita tahu biasanya sekolah akan digunakan dan kami di kementerian sebelum ini telah buat ketetapan seboleh-bolehnya tidak mahu sekolah menengah digunakan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas sesi libat urus bersama warga pendidik dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kota Iskandar di sini hari ini.

Menurut Mohd Radzi, sekiranya sekolah menengah digunakan sebagai pusat mengundi, pelbagai proses berhubung peperiksaan SPM perlu dibuat semula.

“Kita mohon sebaik-baiknya sekolah menengah tidak digunakan sebagai pusat mengundi, untuk sekolah rendah tidak jadi masalah, kerana ini (peperiksaan SPM) melibatkan masa depan anak-anak kita.

“Ini masa yang sukar untuk mereka kerana penyusunan di sekolah telah diatur sebaik mungkin, kita tidak mahu sebarang gangguan terhadap anak-anak dan guru-guru, selain mahu memastikan perjalanan SPM dapat dijalankan dengan baik,” katanya.

SPR menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi PRN Johor dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.

Menurut SPR, sebanyak 1,084 buah pusat mengundi akan digunakan dengan 4,720 tempat atau saluran mengundi.

-BERNAMA

 


Pengarang :