Malaysia memberikan fokus membangunkan industri aeroangkasa
AGENDANASIONAL

Program MyReskill IoT Perbadanan Produktiviti Malaysia tingkat daya saing sektor aeroangkasa

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Program MyReskill IoT (Internet Pelbagai Benda) anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) disasarkan untuk membangun dan meningkatkan keupayaan syarikat pertumbuhan tinggi dalam sektor aeroangkasa dengan penggunaan teknologi canggih.

Ia selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata penggunaan dan aplikasi teknologi dalam pelbagai sektor ekonomi dijangka menyumbang kepada peningkatan ketara produktiviti dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Beliau berkata penggunaan teknologi memerlukan lebih ramai bakat berkemahiran tinggi untuk berada dalam pasaran buruh, terutama industri aeroangkasa.

“Program MyReskill IoT akan menggalakkan dan menyokong peningkatan dan memberi kemahiran baharu kepada tenaga kerja untuk memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan industri di samping meluaskan penglibatan syarikat aeroangkasa dalam rantaian bekalan aeroangkasa global,” katanya.

Beliau berkata program itu adalah jemputan kepada syarikat aeroangkasa untuk mengambil langkah pertama yang sangat penting dalam menerima guna IoT sebagai pemboleh utama.

“Ini khususnya dalam usaha mengubah perniagaan sedia ada dan meneroka bidang baharu dalam landskap ekonomi yang semakin mencabar, terutama dalam era pascapandemik,” katanya.

Abdul Latif berkata menerusi program MyReskill IoT, perniagaan yang mengambil bahagian akan dapat mempertingkatkan inisiatif strategik mereka terutama dalam melonjakkan produktiviti dan mengurus kos secara lebih cekap.

Berlandaskan tema ‘Melonjakkan Produktiviti menerusi Pendigitalan’, program MyReskill IoT menawarkan bengkel maya selama empat hari kepada peserta dengan mereka akan meraih peluang untuk mempelajari IoT dan memperoleh pengetahuan teknikal lanjutan.

Peserta juga akan mempunyai masa seminggu untuk membangunkan projek bukti konsep bagi organisasi mereka dengan menggunakan peranti yang disediakan kepada mereka, dengan sokongan MPC dan pusat-pusat teknologi.

Mereka yang ingin menyertai program tersebut boleh menghubungi [email protected] atau layari https://wayup.my/retamyreskilliot/ untuk mendapatkan maklumat lanjut.

– BERNAMA

 


Pengarang :